1 MAKABE 14 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Demetrius II Ditangkap

1Dalam tahun 172 Raja Demetrius yang Kedua mengumpulkan tentera baginda, lalu berangkat ke Media mencari bantuan untuk berperang melawan Trifon.

2Ketika Arsakes yang Keenam, raja Persia dan Media mendengar bahawa Raja Demetrius telah memasuki wilayahnya, baginda mengirim seorang panglima dengan beberapa pasukan untuk menangkap Raja Demetrius hidup-hidup.

3Tentera Raja Demetrius diserang dan ditumpaskan. Raja Demetrius sendiri ditangkap lalu dibawa menghadap Raja Arsakes dan dipenjarakan.

Jasa-Jasa Simon

4Selama masa pemerintahan Simon, negeri Yudea aman. Dia mengusahakan kesejahteraan bangsanya. Pemerintahannya disukai oleh orang bawahannya, dan dia dihormati seumur hidupnya.

5Yope sebuah kota pelabuhan ditawannya, sehingga terbukalah jalan menuju kepulauan Yunani. Jasa Simon itu membuatnya lebih termasyhur lagi.

6Simon memperluas wilayah bangsanya dan menguasai seluruh negeri.

7Banyak tawanan perang dibawanya pulang. Gezer, Bet-Zur, dan kubu di Yerusalem ditawannya. Kubu itu dibersihkannya daripada segala kenajisan, dan tidak seorang pun dapat menentangnya.

8Orang Yahudi mengerjakan tanah mereka dalam keadaan aman dan tenteram. Maka tanah memberi hasil dan pokok-pokok berbuah dengan lebat.

9Para pemuda memakai pakaian seragam tentera yang sangat indah, sedangkan orang tua-tua duduk-duduk di lapangan sambil mempercakapkan zaman yang sejahtera itu.

10Simon membekalkan makanan bagi kota-kota dan memperlengkapinya dengan pertahanan yang kuat. Maka kemasyhurannya bertambah di seluruh negeri.

11Dia memberi kedamaian kepada bangsanya, sehingga mereka sangat gembira.

12Setiap orang hidup dengan tenang di bawah pokok anggur dan pokok aranya, dan tidak ada yang membuat mereka takut.

13Semua raja yang memusuhi mereka sudah dikalahkan, dan di negeri itu tidak ada yang memerangi orang Yahudi.

14Simon menolong banyak orang sebangsanya yang miskin. Dia mentaati Taurat Musa dan menumpas semua orang jahat dan pelanggar hukum.

15Rumah Tuhan diperindahnya. Dia juga menambahkan sejumlah besar peralatan untuk keperluan ibadat.

Simon Membaharui Ikatan Persahabatan dengan Roma dan Sparta

16Khabar tentang kematian Yonatan membuat orang Roma dan Sparta amat sedih.

17Tetapi ketika orang Sparta mendengar bahawa Simon telah menggantikan adiknya sebagai Imam Agung, dan bahawa dia menguasai seluruh negeri dan semua kotanya,

18mereka menulis kepada Simon untuk membaharui ikatan persahabatan dan perikatan yang dahulu dibuat oleh mereka dengan Yudas dan Yonatan, saudara-saudaranya. Surat yang diukir pada lempeng gangsa iaitu tahun ketiga pemerintahan Imam Agung Simon di Asaramel,

28dalam persidangan besar para imam dan rakyat, para pemimpin bangsa dan kaum tua-tua, diumumkan hal-hal yang berikut:

29Setiap kali terjadi pertempuran di negeri ini, Simon anak Matatias keturunan Yoarib dan saudara-saudaranya mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan Rumah Allah, bangsa dan Taurat kita terhadap musuh. Mereka telah membawa kehormatan besar kepada bangsa kita.

30Yonatan telah mempersatukan bangsa kita dan menjadi Imam Agung sehingga dia meninggal.

31Kemudian musuh mahu menyerbu dan memusnahkan negeri ini serta menajiskan Rumah Allah.

32Tetapi Simon bangkit dan berjuang bagi bangsanya. Sejumlah besar wangnya disumbangkannya untuk memberi nafkah dan perlengkapan senjata kepada angkatan perang negara.

33Kota-kota di Yudea diperkuatkannya, khususnya Bet-Zur di perbatasan, yang dahulu menjadi gudang senjata musuh. Lalu ditempatkannya sebuah pasukan Yahudi untuk menduduki kota itu.

34Diperkuatnya pula kota pelabuhan Yope dan kota Gezer di perbatasan Asdod yang dahulu diduduki tentera musuh. Di kota-kota itu ditempatkannya orang Yahudi, dan mereka diperlengkapi dengan apa sahaja yang diperlukan oleh mereka untuk membina kota itu semula.

35Ketika rakyat melihat kesetiaan Simon dan segala usahanya untuk kejayaan bangsanya, dia dijadikan Imam Agung dan pemimpin mereka. Hal itu dilakukan oleh mereka kerana jasa-jasa dan kesetiaannya, kerana dia telah menjalankan keadilan dan dalam segala hal berusaha untuk meningkatkan darjat bangsanya.

36Dalam masa pemerintahannya Simon berjaya menumpas orang asing dari negeri Yudea, juga tentera pendudukan musuh yang tinggal di kubu di Yerusalem dan yang biasa keluar dari situ untuk mencemarkan persekitaran Rumah Allah.

37Lalu ditempatkannya orang Yahudi di kubu itu dan diperkuatkannya juga demi keamanan kota Yerusalem dan seluruh negeri. Tembok-tembok kota Yerusalem ditinggikannya.

38Kerana semua jasa itu, Raja Demetrius mengukuhkannya sebagai Imam Agung.

39Raja sangat menghormati Simon dan memberinya gelaran Sahabat Raja.

40Hal itu dilakukannya kerana baginda mendengar bahawa orang Roma menyebut orang Yahudi sahabat, sekutu dan saudara mereka. Baginda juga mendengar bahawa utusan Simon diterima dengan segala hormat di Roma.

41Rakyat Yahudi dan imam-imam mereka telah berkenan mengangkat Simon dan keturunannya menjadi pemimpin dan Imam Agung mereka, sehingga tampil seorang nabi yang dapat dipercayai.

42Simon dilantik menjadi penguasa negara dan panglima tentera. Dia berhak melantik orang yang bertanggungjawab atas perlengkapan tentera dan kota-kota berkubu, ketua pekerjaan umum dan pemerintahan daerah. Dia juga diberi kuasa untuk mengurus Rumah Allah.

43Seluruh rakyat harus taat kepadanya dalam segala hal. Semua surat perjanjian rasmi harus dibuat atas namanya. Dia diberi hak untuk memakai pakaian kerajaan dengan kancing emas.

44Tidak seorang pun daripada kalangan rakyat atau imam yang mempunyai hak untuk membatalkan sesuatu daripada keputusan-keputusan itu atau menentang perintah Simon. Dilarang juga mengadakan perhimpunan di negeri tanpa izinnya, atau memakai pakaian kerajaan dengan kancing emas.

45Barang siapa tidak mengendahkan atau mentaati peraturan-peraturan itu akan dihukum.

46Seluruh rakyat setuju memberi hak kepada Simon untuk bertindak sesuai dengan segala keputusan itu.

47Simon pun menerimanya dan bersedia menjadi penguasa tertinggi, Imam Agung, panglima tentera dan pemimpin rakyat serta para imam.”

48Lalu diputuskan untuk mengukir pernyataan itu pada lempeng gangsa dan memasangnya di tempat yang mudah dilihat di kawasan Rumah Allah.

49Salinannya akan disimpan di perbendaharaan Rumah Allah untuk Simon dan anak-anaknya.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help