MAZMUR 116 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Orang yang Terlepas daripada Maut Memuji Allah

1Aku mengasihi TUHAN, kerana Dia mendengar seruanku;

Dia mendengar permintaanku.

2Dia mendengar aku

setiap kali aku berseru kepada-Nya.

3Maut mengepung aku,

dan kengerian kubur meliputi aku;

aku sangat takut dan cemas.

4Lalu aku berseru kepada TUHAN,

“Aku memohon, ya TUHAN, selamatkanlah aku.”

5TUHAN itu pengasih dan adil;

Allah kita penuh belas kasihan.

6TUHAN melindungi orang yang tidak berdaya;

ketika aku menghadapi bahaya, Dia menyelamatkan aku.

7Aku mesti tenang,

kerana TUHAN baik kepadaku.

8TUHAN telah menyelamatkan aku daripada maut;

Dia menghentikan air mataku

dan tidak membiarkan aku dikalahkan.

9Maka aku hidup di hadirat TUHAN,

di dunia orang yang hidup.

10 2 Kor 4.13 Aku tetap percaya, walaupun aku berkata,

“Aku dikalahkan sama sekali.”

11Walaupun dalam kecemasan aku berkata,

“Tiada seorang pun yang boleh dipercayai.”

12Apakah yang dapat aku persembahkan kepada TUHAN

untuk segala kebaikan-Nya terhadap aku?

13Aku akan memberikan persembahan wain kepada TUHAN,

untuk bersyukur kepada-Nya kerana Dia menyelamatkan aku.

14Di hadapan semua umat-Nya,

aku akan menunaikan janjiku kepada-Nya.

15TUHAN sangat sedih

apabila orang yang setia kepada-Nya mati.

16Aku ini hamba-Mu, ya TUHAN;

aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu.

Engkau telah menyelamatkan aku daripada maut.

17Aku akan mempersembahkan korban syukur kepada-Mu,

dan aku akan berdoa kepada-Mu.

18Aku akan menunaikan janjiku kepada TUHAN

di hadapan semua umat-Nya,

19di halaman Rumah TUHAN,

di kota Yerusalem.

Pujilah TUHAN!

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help