SIRAKH 12 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Jangan Berbuat Baik kepada Sembarang Orang

1Jika engkau berbuat baik, perhatikanlah untuk siapa perbuatan itu, maka engkau akan mendapat balas budi. Mat 7.6

2Berbuatlah baik kepada orang yang bertakwa, maka engkau akan mendapat balasan; kalau bukan daripada mereka, pasti daripada Tuhan Yang Maha Tinggi.

3Orang yang terus-menerus berbuat jahat tidak akan menerima kebaikan, sama halnya dengan orang yang tidak mahu memberi sedekah.

4Berilah kepada orang yang salih, tetapi jangan tolong orang yang berdosa.

5Lakukanlah yang baik kepada orang yang rendah hati, tetapi jangan beri apa-apa kepada orang jahat. Jangan beri mereka makan, supaya mereka tidak menjadi lebih kuat daripada engkau. Hal itu demikian kerana semua kebaikanmu terhadap mereka akan dibalas oleh mereka dengan kejahatan dua kali lipat.

6Allah Yang Maha Tinggi pun membenci orang yang berdosa, dan Dia akan menghukum mereka.

7Jadi berilah kepada orang baik, tetapi jangan tolong orang yang berdosa.

Sahabat Sejati dan Sahabat Palsu

8Pada masa kesejahteraan, sukar mengetahui siapa sahabat yang sejati, tetapi pada masa kesusahan mudah mengenali musuh.

9Waktu seseorang sejahtera, musuh-musuhnya sakit hati; tetapi waktu dia susah, kawan-kawannya pun meninggalkan dia.

10Jangan sekali-kali percaya kepada musuh, oleh sebab kejahatan mereka merosakkan seperti karat.

11Sekalipun mereka bersikap rendah hati dan berjalan membongkok, waspadalah dan berhati-hatilah terhadap mereka. Berlakulah terhadap mereka seperti seorang penggosok cermin logam; akhirnya karatnya akan hilang juga.

12Seorang musuh jangan kautempatkan di sampingmu; nanti dia menggeser engkau dan mengambil tempatmu. Jangan biarkan dia duduk di sebelah kananmu; nanti dia menggulingkan engkau dari tempat kehormatanmu. Maka akhirnya engkau mengakui kebenaran kata-kataku dan menyesal apabila teringat akan nasihatku.

13Tidak seorang pun berasa kasihan kalau seorang pawang ular atau penjinak binatang buas digigit.

14Begitu juga tidak ada yang berasa kasihan apabila engkau bergaul dengan seorang yang berdosa dan terlibat dalam kejahatannya.

15Untuk sementara waktu dia tinggal bersama-sama engkau. Tetapi apabila engkau mendapat kesukaran, persahabatannya berakhir.

16Seorang musuh berbicara manis, tetapi dalam hati dia merancang untuk menjatuhkan engkau. Dia pura-pura ikut bersedih, tetapi kalau ada kesempatan, dia akan membunuh engkau.

17Apabila engkau ditimpa kemalangan, engkau mendapati dia menunggu, pura-pura hendak menolong; padahal dia siap mengangkat tumitmu supaya engkau jatuh.

18Air mukanya berubah dan dia gembira atas kesusahanmu; dia menggelengkan kepalanya dan menyebarkan khabar bohong tentang engkau.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help