TOBIT 7 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Di Rumah Raguel

1Apabila mereka tiba di kota Ekbatana, Tobias berkata, “Azarya kawan saya, hantarlah saya terus ke rumah Raguel saudara saya.” Lalu malaikat menghantarkannya ke situ. Mereka mendapati Raguel sedang duduk dekat pintu halaman rumahnya. Azarya dan Tobias memberi salam kepada Raguel, dan dia membalas salam mereka dengan berkata, “Mari masuk, saudara-saudara! Selamat datang ke rumah kami.”

Raguel membawa mereka ke dalam rumahnya,

2lalu berkata kepada Edna, “Mirip benar pemuda itu dengan Tobit saudaraku.”

3Edna berkata kepada mereka, “Saudara-saudara dari mana?”

“Kami orang Israel daripada suku Naftali,” jawab Tobias dan Rafael, “daripada kaum buangan di kota Niniwe.”

4Edna bertanya lagi, “Kenalkah kamu saudara kami Tobit?”

“Kami kenal dia,” jawab mereka.

“Bagaimana keadaannya?” tanya Edna.

5“Dia masih hidup dan sihat,” jawab mereka.

Lalu Tobias menambah, “Tobit ayah saya.”

6Apabila mendengar itu, Raguel berdiri dan mencium Tobias sambil menangis kegirangan. Lalu dia berkata, “Semoga Allah memberkati engkau, anakku. Ayahmu seorang yang baik dan berbudi. Sungguh menyedihkan bahawa orang yang hidup baik dan suka memberi derma itu menjadi buta!” Lalu didakapnya Tobias sambil menangis. Kej 33.4, 45.14; Luk 15.20

7Edna isterinya dan Sara anak mereka ikut menangis.

8Tobias dan Rafael disambut dengan mesra oleh Raguel. Dia memotong domba jantan bagi mereka.

9Sesudah kedua-dua orang tetamu itu mandi dan hendak duduk makan, Tobias berkata kepada Rafael, “Azarya kawanku, mintalah kepada Raguel supaya dia memberikan anaknya menjadi isteriku.”

10Kata-kata itu terdengar oleh Raguel, dan dia berkata kepada Tobias, “Makanlah dan minumlah, dan bersenang-senanglah malam ini. Engkaulah yang paling berhak memperisteri Sara. Dia tak dapat kuberikan kepada orang lain, oleh sebab engkau kerabatku yang paling dekat. Tapi aku harus mengatakan yang sebenarnya kepadamu, nak.

11Dia sudah kukahwinkan berturut-turut kepada tujuh orang, semuanya kerabat kami. Tapi mereka semua menemui ajal masing- masing pada malam pengantin ketika mendekatinya. Sekarang makanlah dan minumlah. Tuhan akan melindungi kamu berdua.”

12Tobias menjawab, “Saya tak akan makan atau minum sebelum bapa memberi jawapan.”

Raguel bersetuju. “Baiklah,” katanya. “Dia kuberikan kepadamu sesuai dengan Taurat Musa. Allah Yang Maha Tinggi sudah mengatur perkahwinan ini, jadi terimalah dia sebagai isterimu. Mulai sekarang kamu terikat, satu dengan yang lain, dan Sara diberikan kepadamu untuk selama-lamanya. Semoga Tuhan Yang Maha Tinggi menjaga kamu malam ini supaya selamat. Semoga Dia mengasihani kamu dan berbuat baik kepadamu!”

Upacara Perkahwinan

13Kemudian Raguel memanggil anaknya. Sewaktu dia masuk, Raguel memegang tangan Sara dan menyerahkannya kepada Tobias dengan restunya. “Ambillah dia menjadi isterimu sesuai dengan ketetapan Taurat Musa. Bawalah dia dengan selamat ke rumah ayahmu. Semoga Allah Yang Maha Tinggi memberi hidup sejahtera kepadamu.”

14Lalu Raguel menyuruh Edna isterinya mengambil segulung kertas yang masih kosong. Pada kertas itu ditulisnya perjanjian perkahwinan yang menyatakan bahawa dia menyerahkan Sara kepada Tobias menjadi isterinya sesuai dengan ketetapan Taurat Musa. Sesudah itu baharulah mereka makan dan minum.

15Kemudian Raguel memanggil isterinya dan berkata kepadanya, “Siapkanlah sebuah bilik dan hantarkanlah Sara masuk.”

16Edna menyiapkan bilik sesuai dengan perintah suaminya, lalu dibawanya Sara ke situ. Dia mula menangis kerana anaknya, lalu dia mengesat air matanya, dan berkata kepada Sara,

17“Tabahlah, Sara. Ibu yakin kali ini Tuhan Yang Maha Tinggi akan memberi engkau kebahagiaan bagi menggantikan kesedihan. Jadi tabahkanlah hatimu, nak!” Lalu Edna meninggalkan bilik itu.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help