PENGKHUTBAH 3 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Segala Sesuatu Ada Waktunya

1Segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah.

2Dia menentukan waktu untuk melahirkan dan

waktu untuk meninggal,

waktu untuk menanam dan

waktu untuk mencabut,

3waktu untuk membunuh dan

waktu untuk menyembuhkan,

waktu untuk merobohkan dan

waktu untuk membina.

4Dia menentukan waktu untuk menangis dan

waktu untuk tertawa,

waktu untuk berkabung dan

waktu untuk menari,

5waktu untuk berasmara dan

waktu untuk menahan diri,

waktu untuk memeluk dan

waktu untuk mengawal diri.

6Dia menentukan waktu untuk mendapat dan

waktu untuk kehilangan,

waktu untuk menyimpan dan

waktu untuk membuang,

7waktu untuk mengoyakkan dan

waktu untuk menjahit,

waktu untuk berdiam diri dan

waktu untuk bertutur.

8Dia menentukan waktu untuk mengasihi dan

waktu untuk membenci,

waktu untuk berperang dan

waktu untuk berdamai.

9Apakah hasil semua usaha kita?

10Aku tahu bahawa Allah telah memberikan beban yang berat kepada kita.

11Dia telah menentukan waktu yang tepat bagi tiap-tiap perkara. Dia telah memberi kita keinginan untuk mengetahui masa depan, tetapi tidak memberi kita pemahaman tentang segala perbuatan-Nya dari awal sampai akhir.

12Oleh itu, aku insaf bahawa sebaik-baiknya yang dapat kita lakukan adalah bersukacita dan berusaha sedaya upaya semasa kita masih hidup.

13Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Allah.

14Aku tahu bahawa semua yang dilakukan oleh Allah itu kekal. Manusia tidak dapat menambahnya, ataupun menguranginya. Allah bertindak demikian supaya kita menghormati Dia.

15Apa-apa yang telah berlaku atau akan berlaku telah pun berlaku pada masa yang lampau. Allah menentukan supaya yang sudah berlaku, akan terjadi berulang kali.

Ketidakadilan di Dunia

16Selain itu, aku nampak juga bahawa di dunia ini, di tempat yang seharusnya ada keadilan dan kebaikan, di situ terdapat kejahatan.

17Aku berfikir, Allah akan mengadili orang baik dan orang jahat, kerana setiap perkara dan setiap tindakan akan berlaku pada waktunya yang tertentu.

18Inilah pendapatku: Allah menguji kita untuk menunjukkan bahawa nasib kita tidak berbeza dengan nasib binatang.

19Bukankah manusia dan binatang senasib? Kedua-duanya makhluk dan kedua-duanya pun akan mati. Manusia tidak lebih baik daripada binatang, kerana bagi kedua-duanya hidup itu sia-sia.

20Kedua-duanya kembali ke tempat yang sama - ke tanah. Kedua-duanya berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah.

21Siapakah dapat memastikan bahawa roh manusia naik ke atas dan roh binatang turun ke bawah bumi?

22Oleh itu, aku sedar bahawa hal terbaik yang dapat kita lakukan adalah menikmati hasil usaha kita. Selain itu tidak ada apa-apa yang dapat kita lakukan. Kita tidak mungkin mengetahui apa-apa yang akan berlaku setelah kita meninggal.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help