SIRAKH 30 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Mendidik Anak

1Seorang bapa yang sayang kepada anaknya sering menyebat dia supaya anak itu menjadi kebanggaannya pada kemudian hari.

2Seorang yang mendidik anaknya dengan baik akan mendapat kepuasan daripadanya. Dia boleh membanggakan anaknya di tengah kenalan-kenalannya.

3Seorang yang mengajar anaknya dengan baik, tidak hanya dapat berbesar hati di hadapan kawan-kawannya, tetapi juga membuat musuhnya iri hati.

4-5Selama hidupnya dia bergembira apabila melihat anaknya. Pada waktu meninggal, dia tidak bersedih hati. Sesungguhnya, dia tidak mati, oleh sebab dia meninggalkan seorang anak yang mirip dengan dirinya.

6Dia meninggalkan seorang yang akan membalas dendam terhadap musuh-musuhnya dan membalas budi sahabat-sahabatnya.

7Tetapi seorang yang memanjakan anaknya akan dilukai hatinya. Dia berasa susah hati setiap kali mendengar tangisan anaknya.

8Kuda yang tidak dijinakkan menjadi degil. Begitu juga halnya dengan anak yang tidak ditertibkan.

9Seorang yang menimang anaknya dan bermain dengan dia, akan dikecewakan kelak dan disedihkan olehnya.

10Orang yang sekarang tertawa bersama-sama anak mereka, akan menangisi mereka kelak dan akhirnya akan menggertakkan gigi kerana menyesal.

11Jangan beri kebebasan kepada anakmu pada masa mudanya dan jangan berpura-pura tidak melihat kesalahannya.

12Tundukkanlah dan sebatlah dia pada masa kecilnya supaya dia menghormati kewibawaanmu. Kalau tidak, dia akan menjadi keras kepala dan tidak taat kepadamu.

13Jadi didiklah anakmu supaya tertib. Bersusah payahlah mengajar dia supaya engkau tidak sakit hati kerana dia mempermalukan engkau.

Kesihatan

14Lebih baik miskin tetapi sihat dan kuat, daripada kaya tetapi sering sakit.

15Badan yang sihat dan kuat lebih berharga daripada emas dan kemewahan besar.

16Tidak ada kekayaan yang melebihi kesihatan badan, dan tidak ada kesenangan yang melebihi keriangan hati.

17Lebih baik mati dan berehat kekal daripada hidup sengsara kerana selalu sakit.

18Menyajikan makanan enak kepada orang yang sakit tenat sama sahaja dengan menaruh makanan di atas kuburan.

19Tidak ada gunanya menghidangkan makanan kepada berhala, oleh sebab berhala tidak dapat memakannya atau mencium baunya. Begitu juga halnya seorang yang diseksa oleh Tuhan;

20dia memandang makanannya dan mengeluh seperti orang yang dikembiri memeluk seorang gadis.

Suka dan Duka

21Jangan menyerah kepada kesedihan dan jangan dengan sengaja menyeksa diri.

22Hati yang riang membuat orang panjang umur dan hidup bahagia.

23Hiburlah hatimu dan bersukacitalah. Buanglah kesedihanmu jauh-jauh, oleh sebab kesedihan tidak pernah menguntungkan, malahan telah membinasakan banyak orang.

24Kekhuatiran membuat orang cepat tua; iri hati dan kemarahan memperpendek umur.

25Orang yang gembira dan baik hati makan dengan nikmat.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help