SIRAKH 39 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

1Tetapi lain halnya tentang seorang yang dengan tekun dan rajin mempelajari hukum Allah Yang Maha Tinggi. Dia menyelidik kebijaksanaan orang pada zaman dahulu dan sibuk mendalami nubuat-nubuat.

2Dia menghafalkan ajaran orang terkenal dan menyelami selok-belok perumpamaan.

3Dia menyelidik erti yang tersembunyi dalam peribahasa dan dapat menghuraikan bahagian-bahagian yang sukar dalam perumpamaan.

4Dia berkhidmat di kalangan orang terkemuka dan tampil di hadapan para penguasa. Dia menjelajah negeri-negeri asing kerana ingin tahu apa yang baik dan yang jahat untuk manusia.

5Dia bangun pagi-pagi dan berdoa kepada Tuhan Penciptanya. Dengan suara lantang dia berdoa kepada Yang Maha Tinggi supaya mengampunkan dosa-dosanya.

6Kalau diperkenan Tuhan yang agung, dia akan dipenuhi dengan pengertian. Kata-kata bijaksana mengalir dari mulutnya dan dia bersyukur kepada Tuhan dalam doa.

7Dia akan mempunyai pengetahuan dan penilaian yang tepat, dan memikirkan rahsia-rahsia Tuhan.

8Dia menunjukkan ajaran yang telah diberikan kepadanya, dan kebanggaannya ialah Taurat dan perjanjian Tuhan.

9Pengertiannya akan dipuji oleh banyak orang, dan dia tidak akan dilupakan oleh sebab namanya diingat turun-temurun.

10Kebijaksanaannya akan diceritakan oleh bangsa-bangsa lain, dan dia akan dipuji dalam kumpulan umat.

11Kalau dia panjang umur, dia meninggalkan nama yang sangat harum, tetapi kalau dia meninggal sebelum menjadi terkemuka, hal itu cukup baginya.

Pujian bagi Allah

12Masih banyak buah fikiran yang hendak kusampaikan, oleh sebab aku penuh seperti bulan purnama.

13Dengarlah aku, hai anak-anakku yang salih; berkembanglah seperti pokok mawar di tepi sungai.

14Mekarlah seperti bunga bakung dan biarlah harummu memenuhi udara seperti kemenyan. Nyanyikanlah lagu pujian bagi Tuhan dan bersyukurlah kepada-Nya atas segala perbuatan-Nya.

15Wartakanlah keagungan-Nya dengan pujian penuh syukur. Nyanyikanlah lagu ini dengan iringan kecapi:

16Sungguh indah semua perbuatan Tuhan;

segala perintah-Nya terlaksana pada waktunya.

17Jangan bertanya, “Apa ini? Mengapa begitu?”

Semua itu akan dijawab pada waktunya.

Dengan perintah-Nya air bertimbun seperti bendungan;

kerana firman-Nya air berkumpul di dalam kolam.

18Dengan perintah-Nya terjadilah segala yang berkenan kepada-Nya;

karya penyelamatan-Nya tidak ada batasnya.

19Dia melihat perbuatan semua makhluk;

tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya.

20Dari permulaan hingga akhir zaman Dia berkekalan memandanginya;

tidak ada yang luar biasa bagi-Nya.

21Jangan bertanya, “Apa ini? Mengapa begitu?”

Seluruh ciptaan ada tujuannya.

22Berkat-Nya melimpah seperti sungai,

seperti luapan air menggenang tanah kering.

23Dia menimpakan kemurkaan-Nya terhadap bangsa-bangsa,

seperti ketika Dia mengubah air tawar menjadi masin.

24Jalan-jalan Tuhan rata bagi orang yang salih,

tetapi penuh rintangan bagi orang jahat.

25Sejak semula Dia mengadakan yang baik bagi orang baik

dan yang buruk bagi orang yang berdosa.

26Inilah keperluan utama bagi manusia:

air, api, besi dan garam,

gandum, susu dan madu,

wain, minyak dan pakaian.

27Semua itu baik bagi orang yang bertakwa,

tetapi menjadi buruk bagi orang yang berdosa.

28Ada angin yang diciptakan untuk menjatuhkan hukuman,

yang membadai dan mendera dengan dahsyatnya.

Pada waktu penghakiman lepaslah segala kekuatannya,

meredakan kemurkaan Penciptanya.

29-30Binatang buas, kala jengking dan ular tedung,

pedang yang membinasakan orang jahat,

api, hujan batu, wabak dan kelaparan,

semua itu diciptakan sebagai hukuman.

31Semua suka melakukan perintah Tuhan

dan siap melaksanakan tugas di bumi.

Apabila tiba saatnya untuk bertindak,

semuanya tidak pernah menolak.

32Sejak semula aku sudah yakin benar, dan setelah memikirkannya, aku menulisnya:

33Perbuatan Tuhan baik semuanya;

Dia memenuhi setiap keperluan pada waktunya.

34Tidak dapat dikatakan yang satu lebih buruk daripada yang lain,

oleh sebab semua ternyata baik pada saatnya.

35Sekarang bernyanyilah dengan sepenuh hati

dan pujilah Tuhan dengan suara lantang.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help