SIRAKH 4 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

1Anakku, jangan sebabkan orang miskin kehilangan nafkah dan jangan biarkan orang yang kekurangan terus berharap.

2Jangan sakiti hati orang yang kelaparan dan jangan sesalkan hati orang yang kekurangan.

3Orang yang sudah marah jangan lagi kautambah kesukaran mereka. Jangan menunda-nundakan waktu memberi sedekah kepada orang yang kekurangan.

4-5Tolonglah orang yang sedang kesusahan, dan jangan tolak permintaan orang miskin atau memberi mereka alasan untuk mengutuk engkau.

6Hal itu demikian kerana kalau dalam kesusahan hati mereka mengutuk engkau, Pencipta mereka akan mendengar permohonan mereka itu.

7Berusahalah supaya engkau disukai umat, dan tunduklah kepada orang yang berkuasa.

8Dengarkanlah kata-kata orang miskin dan jawablah mereka dengan ramah dan lembut.

9Selamatkanlah orang yang tertindas daripada tangan penindas mereka dan jangan takut menjalankan keadilan.

10Jadilah seperti seorang bapa bagi yatim piatu dan bantulah para balu. Maka engkau akan menjadi seperti anak Tuhan Yang Maha Tinggi, dan dikasihi oleh-Nya lebih daripada ibumu.

Nilai Kebijaksanaan

11Orang yang mencari kebijaksanaan akan dipelihara dan diagungkan olehnya.

12Orang yang mencintai kebijaksanaan mencintai kehidupan. Barang siapa bangun pagi-pagi untuk mencarinya akan penuh sukacita.

13Orang yang memiliki kebijaksanaan akan diluhurkan dan diberkati Tuhan ke mana sahaja mereka pergi.

14Orang yang berbakti kepada kebijaksanaan, berbakti kepada Allah Yang Suci, dan orang yang mencintai kebijaksanaan, dikasihi Tuhan.

15Barang siapa mendengarkannya akan mengadili orang yang tidak bertuhan, dan barang siapa memperhatikannya akan hidup dengan tenteram.

16Percayalah kepada kebijaksanaan, maka engkau akan memilikinya dan mewariskannya kepada keturunanmu.

17Mula-mula kebijaksanaan menuntun engkau melalui jalan yang berliku-liku sehingga engkau takut dan gentar. Engkau diajarnya dengan seksaan, dan diuji dengan peraturan-peraturannya sehingga engkau dipercayainya.

18Lalu tanpa menunda-nunda lagi kebijaksanaan itu datang kepadamu. Semua rahsianya dinyatakannya kepadamu dan engkau digembirakannya.

19Tetapi jika engkau menyimpang daripadanya, engkau akan ditinggalkannya dan dibiarkan binasa.

Percaya kepada Diri Sendiri

20Gunakanlah kesempatan yang baik, tetapi jagalah dirimu terhadap kejahatan dan jangan mendatangkan malu kepada dirimu.

21Hal itu demikian kerana ada rasa malu yang mendatangkan dosa, dan ada pula rasa malu yang patut dihargai dan dipuji.

22Jangan memihak kepada orang sehingga engkau sendiri rugi, dan jangan mengalah dengan akibat engkau sendiri celaka.

23Jangan ragu-ragu untuk bercakap kalau perlu.

24Pertuturanmu menyatakan kebijaksanaan dan pendidikanmu.

25Jangan lawan kebenaran, tetapi hendaklah engkau malu kerana kebodohanmu.

26Jangan malu mengakui dosa-dosamu; arus sungai tidak dapat dilawan.

27Jangan biarkan dirimu dikuasai oleh orang bodoh dan jangan pula memihak kepada orang berkuasa.

28Berjuanglah mati-matian untuk membela yang benar, maka engkau akan dibela Tuhan Allah.

29Jangan berani dalam percakapanmu, sedangkan malas dan lalai dalam perbuatanmu.

30Jangan bertindak seperti singa di rumahmu atau curiga terhadap pelayan-pelayanmu.

31Jangan tanganmu terbuka untuk menerima, tetapi tertutup pada waktu engkau harus mengembalikannya.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help