1 MAKABE 2 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Keluhan Matatias

1Pada waktu itu seorang imam daripada keluarga Yoarib yang bernama Matatias, anak Yohanes, cucu Simeon, pindah dari Yerusalem dan menetap di kota Modein.

2Matatias mempunyai lima orang anak: Yohanes yang disebut Gadi,

3Simon yang disebut Tasi,

4Yudas yang disebut Makabe,

5Eleazar yang disebut Avaran, dan Yonatan yang disebut Apfus.

6Ketika Matatias melihat semua pencemaran yang dilakukan di Yudea dan di Yerusalem,

7dia berkata,

“Celakalah aku ini! Mengapa aku dilahirkan

untuk melihat keruntuhan bangsaku dan kota suci?

Haruskah aku diam saja

sementara kota itu diserahkan kepada musuh

dan Rumah Tuhan jatuh ke tangan orang asing?

8Rumah Allah seperti orang tanpa kehormatan;

9perlengkapannya yang indah sudah habis dijarah.

Anak-anak kita dibunuh di jalan-jalan,

para pemuda kita binasa oleh pedang lawan.

10Kedaulatan Yerusalem sudah dirampas

dan hartanya dirompak oleh segala bangsa.

11Semua perhiasannya sudah diambil;

dia kehilangan kemerdekaannya dan menjadi hamba.

12Lihatlah tempat suci; segala yang indah dan mulia bagi kita

telah dicemarkan dan dirosakkan oleh orang asing.

13Jadi apa gunanya hidup bagi kita?”

14Lalu Matatias dan anak-anaknya mengoyak pakaian mereka kerana sedih dan memakai kain guni tanda berkabung.

Korban di Modein

15Para pegawai raja yang ditugaskan untuk memaksa orang Yahudi meninggalkan Allah, datang ke Modein untuk mempersembahkan korban kepada dewa-dewa.

16Banyak orang Israel datang bertemu dengan mereka. Matatias dan anak-anaknya ikut berkumpul.

17Para pegawai raja berkata kepada Matatias, “Tuan seorang pemimpin yang besar dan terhormat di kota ini dan disokong oleh anak-anak dan kaum keluarga tuan.

18Baiklah tuan menjadi orang pertama yang melakukan perintah raja. Semua bangsa lain, penduduk Yudea, serta semua orang yang masih tinggal di Yerusalem sudah melakukannya. Kalau tuan menurut, tuan dan anak-anak tuan akan diberi gelaran ‘Sahabat Raja’ dan dihormati dengan pemberian emas, perak, dan banyak hadiah yang lain.”

19Matatias menjawabnya dengan suara kuat, “Biarlah semua bangsa dalam lingkungan kerajaan ini taat kepada raja dan meninggalkan agama nenek moyang mereka.

20Saya, anak-anak saya, dan kaum keluarga saya tetap setia kepada perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang kami.

21Dengan bantuan Allah, kami akan tetap berpegang pada Taurat dan perintah-perintah-Nya.

22Kami tak mahu mentaati perintah raja dan tak mahu menyimpang sedikit pun daripada cara beribadat kami.”

23Selepas sahaja dia selesai bercakap, seorang Yahudi dari Modein tampil ke hadapan orang ramai untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, sesuai dengan perintah raja.

24Apabila melihat orang itu, Matatias menjadi marah sekali. Kemarahannya meluap-luap sehingga badannya gementar. Dia maju dan membunuh orang itu dekat mazbah.

25Pegawai raja yang memaksa orang mempersembahkan korban dibunuhnya juga. Lalu dia merobohkan mazbah itu.

26Dengan cara itu Matatias menunjukkan semangatnya yang besar untuk membela Taurat, seperti yang dilakukan Pinehas ketika membunuh Zimri anak Salom. Matatias Melancarkan Perang Gerila

27Kemudian Matatias mengelilingi kota sambil berseru, “Siapa yang setia kepada perjanjian Allah dan ingin taat kepada Taurat-Nya, ikut aku!”

28Lalu dia dan anak-anaknya meninggalkan segala milik mereka di kota dan melarikan diri ke pergunungan.

29-30Pada waktu itu ada banyak orang Israel lain yang ingin memelihara hubungan baik dengan Allah dan mentaati Taurat-Nya. Mereka membawa anak isteri serta ternakan mereka dan melarikan diri ke padang gurun supaya terhindar daripada penganiayaan yang dahsyat.

31Tidak lama kemudian para pegawai raja dan pasukan di kubu di Yerusalem diberitahu bahawa sejumlah orang yang mengingkari perintah raja telah lari untuk bersembunyi di padang gurun.

32Lalu satu pasukan besar mengejar dan menjumpai mereka. Mereka berkhemah berhadapan dengan semua orang Yahudi itu dan bersiap-siap untuk menyerang mereka pada hari Sabat.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help