SIRAKH 20 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Saat yang Tepat untuk Bercakap

1Ada teguran yang dilontarkan pada saat yang tidak tepat. Ada kalanya lebih bijaksana untuk berdiam diri.

2Tetapi lebih baik memberi teguran daripada terus marah.

3Orang yang mengakui kesalahan tidak akan rugi.

4Orang yang mahu memaksakan hukum dengan kekerasan sama dengan orang dikembiri yang ingin memperkosa seorang gadis.

5Ada orang yang dianggap bijaksana kerana tidak banyak bercakap, dan ada yang dibenci kerana perbualannya.

6Ada yang diam kerana tidak tahu jawapannya, dan ada yang diam kerana tahu saat yang tepat untuk bercakap.

7Seorang yang bijaksana menahan kata-katanya sehingga saat yang tepat, tetapi orang bodoh dan pembual bercakap melewati batas waktu.

8Orang yang bercakap terlalu lama dan tidak memberi kesempatan kepada orang lain untuk membuka mulut akan dibenci.

Hal-Hal yang Bertentangan

9Kesusahan dapat membawa keuntungan, dan kemujuran yang tidak disangka-sangka dapat membawa kerugian.

10Kadang-kadang pemberianmu sama sekali tidak membawa keuntungan bagimu, tetapi ada kalanya pemberianmu dibalas dengan berlipat ganda.

11Ada orang yang direndahkan akibat mencari kemasyhuran, tetapi ada juga yang bangkit daripada kehinaan ke tahap kehormatan.

12Kadang-kadang sesuatu yang dibeli dengan harga murah, ternyata dibayar jauh terlalu mahal.

13Kalau orang bijaksana bercakap, mereka mendapat banyak sahabat. Tetapi kalau orang bodoh bercakap ramah, hal itu sia-sia sahaja.

14Pemberian seorang bodoh tidak berguna bagimu, oleh sebab dia mengharapkan banyak balasan.

15Dia memberi sedikit tetapi banyak mencela, dan dia bercakap kuat supaya didengar semua orang. Hari ini dia memberi pinjaman dan pada esoknya dia memintanya kembali. Orang seperti itu patut dibenci.

16Orang bodoh berkata, “Aku tidak mempunyai sahabat. Tidak ada yang berterima kasih terhadap amalku. Mereka mahu menerima pemberianku, tetapi di belakangku mereka membusukkan namaku.”

17Orang sebodoh itu terus-menerus menjadi ejekan orang.

Kata-Kata yang Tidak Patut

18Lebih baik jatuh kerana salah langkah daripada jatuh kerana salah cakap. Kejatuhan orang jahat sama seperti orang yang jatuh tergelincir.

19Orang yang tidak tahu adat bagaikan cerita tidak sesuai yang diulang-ulang oleh orang bodoh.

20Peribahasa yang diucapkan orang bodoh tidak akan diterima, oleh sebab diucapkan pada saat yang tidak tepat.

21Ada orang yang terhindar daripada dosa kerana terlalu miskin. Dia dapat berehat tanpa diganggu oleh suara batinnya.

22Ada orang yang kehilangan harga diri kerana berasa segan untuk bercakap di hadapan orang bodoh.

23Ada orang malu menepati janji-janji yang dibuat kepada kawan, dan tidak seharusnya kawan itu dijadikannya lawan.

24Dusta merupakan noda yang buruk pada seseorang; orang yang kurang ajar berdusta terus-menerus.

25Seorang pencuri lebih baik daripada seorang pendusta, tetapi kedua-duanya menuju kebinasaan.

26Kebiasaan membohong adalah sesuatu yang memalukan, dan rasa malunya tidak akan lenyap.

Keunggulan dan Kewajipan Orang Bijaksana

27Orang yang bijak bercakap akan maju, dan orang arif disukai para pembesar.

28Orang yang mengerjakan tanah akan memungut tuaian yang berlimpah. Begitu juga orang yang disukai para pembesar dapat pengampunan terhadap kesalahan mereka.

29Sumbangan dan hadiah membutakan mata orang bijaksana dan menghalangi mereka daripada memberi teguran.

30Kebijaksanaan yang disembunyikan seperti harta yang terpendam; kedua-duanya tidak ada gunanya.

31Lebih baik orang yang menyembunyikan kebodohan daripada orang yang menyembunyikan kebijaksanaan.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help