SIRAKH 33 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

1Seorang yang takut kepada Tuhan tidak akan kena malapetaka; sebaliknya dalam percubaan dia selalu diselamatkan Tuhan.

2Orang yang arif tidak membenci Taurat, tetapi orang yang tidak jujur terumbang-ambing seperti perahu di dalam taufan.

3Seorang yang arif, percaya kepada Taurat seperti dia percaya kepada ramalan suci.

4Siapkanlah kata-kata sambutanmu, maka engkau akan didengarkan orang. Sebelum menjawab, susunlah dahulu apa yang kauketahui.

5Fikiran orang dungu seperti roda kereta yang terus berputar.

6Kawan yang suka mengecam seperti kuda yang berahi; kuda itu terus meringkik, walau sesiapa pun yang menungganginya.

Semua Orang Berbeza-beza

7Mengapakah sesuatu hari lebih suci daripada hari-hari yang lain, walaupun sepanjang tahun setiap hari disinari matahari yang sama?

8Tuhan Yang Maha Tahu membezakan hari-hari itu, sehingga ada hari pesta dan masa khusus.

9Beberapa hari ditentukan-Nya sebagai hari perayaan yang suci, sedangkan hari-hari lain dijadikan-Nya hari biasa.

10Seperti Adam, setiap manusia dijadikan daripada tanah.

11Tetapi Tuhan, dalam kebijaksanaan-Nya menjadikan mereka berbeza-beza, dan masing-masing diberinya jalan yang berlainan.

12Ada yang diberkati dan ditinggikan Tuhan, ada pula yang disucikan dan didekatkan pada diri-Nya. Tetapi ada juga yang dikutuk dan direndahkan serta diusir dari tempatnya.

13Seperti tanah liat di tangan tukang periuk yang membentuknya menurut keinginannya, begitu juga manusia di tangan Pencipta yang memperlakukan mereka menurut kehendak-Nya.

14Yang baik berlawanan dengan yang jahat, dan hidup berlawanan dengan mati. Begitu juga orang yang berdosa berlawanan dengan orang yang bertakwa.

15Pandanglah semua karya Tuhan Yang Maha Tinggi; semuanya diciptakan berpasangan, yang satu berlawanan dengan yang lain.

16Saya sendiri datang terakhir untuk berjaga, seperti orang yang memungut apa yang ditinggalkan oleh para pemetik buah anggur.

17Dengan berkat Tuhan saya berhasil baik seperti seorang pemetik buah anggur yang dapat mengisi tempat memerah buah anggurnya.

18Tetapi ketahuilah bahawa saya tidak melakukan semua itu bagi diriku sendiri, tetapi bagi semua orang yang ingin belajar.

19Dengarlah dan perhatikanlah kata-kataku, hai para pembesar bangsa dan pemimpin umat!

Jangan Dikuasai Orang Lain

20Selama hidupmu, jangan biarkan dirimu dikuasai orang lain, sama ada anakmu, isterimu, saudaramu, atau sahabatmu. Jangan serahkan milikmu kepada orang lain, nanti engkau menyesal dan harus memintanya kembali.

21Selama hayat dikandung badan, jangan serahkan tempatmu kepada sesiapa pun.

22Lebih baik anak-anakmu bergantung kepadamu daripada sebaliknya.

23Hendaklah engkau mengawal segala yang kaulakukan, dan jangan biarkan namamu dinodai.

24Berikanlah warisanmu hanya pada akhir hidupmu, kalau ajalmu sudah dekat.

Cara Memperlakukan Pelayan

25Seekor keldai harus diberi rumput dan beban serta dipukul dengan tongkat. Seorang pelayan harus diberi makan dan pekerjaan serta ditertibkan.

26Suruhlah pelayanmu bekerja, maka engkau dapat berehat. Kalau dibiarkan berlalai-lalai, dia akan mencari kebebasan.

27Seekor binatang dapat dijinakkan dengan kok dan kekang; seorang pelayan yang jahat patut didakwa dan dihukum.

28Suruhlah dia bekerja dan jangan biarkan dia lalai, kerana kelalaian membawa orang kepada kejahatan.

29Jadi suruhlah pelayanmu bekerja semestinya, dan kalau dia tidak menurut, rantailah dia.

30Tetapi jangan terlalu keras terhadap sesiapa pun dan jangan lakukan apa-apa yang tidak adil.

31Jika engkau mempunyai seorang pelayan, perlakukanlah dia seperti engkau sendiri ingin diperlakukan, oleh sebab dia sudah kaubeli dengan hasil jerih payahmu.

32Perlakukanlah dia sebagai saudaramu, kerana engkau tidak dapat hidup tanpa dia.

33Jika kauperlakukan dia dengan buruk lalu dia lari, di manakah engkau akan mencari dia?

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help