SIRAKH 23 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

1Ya Tuhan, Bapa dan Penguasa hidupku, jangan biarkan aku dikuasai dan dicelakakan oleh kata-kataku.

2Semoga fikiranku dikendalikan dengan cemeti kebijaksanaan untuk menertibkan hatiku. Aku tidak mahu dibiarkan kalau aku salah, dan aku tidak ingin satu dosa pun terlepas daripada pengawasan-Nya.

3Maka kesalahan dan dosaku tidak akan bertambah-tambah. Aku tidak akan jatuh ke tangan musuh dan ditertawakan mereka.

4Ya Tuhan, Bapa dan Allah hidupku, jagalah aku supaya tidak menjadi bongkak.

5Lindungilah aku daripada keinginan jahat.

6Jangan biarkan aku dikuasai ketamakan dan nafsu berahi. Jangan serahkan aku kepada nafsu-nafsu yang memalukan.

Mengangkat Sumpah

7Anak-anakku, dengarlah ajaranku tentang tutur bahasa yang betul. Orang yang mengikuti ajaranku tidak akan terjebak.

8Orang yang berdosa, orang bongkak, dan pemfitnah terjerat oleh kata-kata mereka sendiri.

9Jangan biasakan diri untuk bersumpah dan menyebut nama Allah yang suci.

10Seorang hamba yang sentiasa disebat tidak akan terlepas daripada bilur-bilur. Begitu juga orang yang terus-menerus bersumpah demi nama Tuhan tidak akan dibersihkan daripada dosa.

11Seorang yang sering bersumpah banyak dosanya, dan rumah tangganya tidak akan terlepas daripada seksaan. Kalau dia bersalah, dia dibebani dosanya. Kalau dia meremehkan kesalahannya, dosanya berganda. Kalau dia bersumpah dusta, dia tidak dapat diampuni dan keluarganya akan ditimpa bencana.

Kata-Kata yang Tidak Senonoh

12Ada suatu cara bercakap yang dapat disamakan dengan maut. Semoga di kalangan orang Israel tidak ada yang bercakap demikian. Orang salih menjauhi kelakuan semacam itu dan tidak berkubang dalam dosa.

13Jangan biasakan diri bercakap kasar dan kotor, oleh sebab hal itu dosa.

14Ingatlah bapa dan ibumu pada waktu engkau berkumpul dengan orang terkemuka. Jangan sampai engkau lupa diri lalu dipermalukan di hadapan mereka kerana kebiasaanmu yang buruk. Nanti engkau mengutuk hari kelahiranmu dan ingin agar engkau tidak pernah dilahirkan.

15Seorang yang sudah biasa menggunakan bahasa yang tidak senonoh tidak dapat diperbaiki seumur hidupnya.

Dosa Pencabulan

16Ada banyak cara untuk menambah dosa, tetapi yang satu ini mendatangkan kemurkaan Tuhan. Nafsu berahi seperti api yang berkobar-kobar dan tidak dapat dipadamkan sehingga habis. Seorang yang berbuat cabul dengan hawa nafsu yang kuat tidak akan berhenti sehingga api itu membakarnya.

17Bagi seorang penggoda, setiap wanita menimbulkan nafsu berahi dan selama hidupnya, dia tidak dapat dipuaskan.

18Seorang suami yang berzina berfikir, “Siapa yang melihat aku? Di sini gelap; aku dilindungi tembok dan tiada yang melihat. Tak usah takut. Yang Maha Tinggi pun tidak menghiraukan dosaku.”

19Orang itu hanya takut dilihat manusia. Dia tidak sedar bahawa mata Tuhan sepuluh ribu kali lebih terang daripada matahari. Tuhan melihat segala perbuatan manusia dan mata-Nya menembus hingga ke sudut yang paling tersembunyi.

20Dia tahu segala-galanya, sebelum dan sesudah menciptakannya.

21Orang yang berdosa itu akan ditangkap pada saat yang tidak disangka-sangka dan dihukum di hadapan umum.

22Begitu juga seorang wanita yang tidak setia kepada suaminya dan memberi dia anak daripada lelaki lain.

23Pertama, wanita itu melanggar hukum Allah Yang Maha Tinggi. Kedua, dia bersalah terhadap suaminya. Ketiga, dia berzina seperti pelacur dan melahirkan anak daripada lelaki yang bukan suaminya.

24Dia sendiri akan dibawa ke hadapan umat dan diperiksa sama ada anak-anaknya sah.

25Mereka tidak akan mendapat tempat dalam masyarakat dan tidak dapat mendirikan keluarga.

26Wanita itu akan kehilangan kehormatannya untuk selama-lamanya. Sesudah dia mati, namanya akan dikutuk.

27Maka semua orang akan insaf bahawa tidak ada yang lebih baik daripada hidup bertakwa, dan tidak ada yang lebih manis daripada mentaati perintah Tuhan.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help