MAZMUR 65 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Pujian dan Kesyukuran

1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Lagu.

2Kami patut memuji Engkau di Sion, ya Allah,

dan memenuhi janji kami kepada-Mu,

3kerana Engkau mengabulkan doa.

Semua orang akan datang kepada-Mu

4kerana mereka berdosa.

Dosa-dosa kami terlalu berat bagi kami,

tetapi Engkau mengampunkan dosa kami.

5Berbahagialah mereka yang telah Engkau pilih,

mereka yang Engkau bawa tinggal di Rumah-Mu.

Kami akan dipuaskan dengan segala yang baik di Rumah-Mu,

berkat-Mu untuk kami di kediaman-Mu yang suci.

6Engkau menjawab seruan kami dengan memberi kami kemenangan;

Engkau menyelamatkan kami dengan melakukan hal-hal yang menakjubkan.

Engkau harapan orang di seluruh dunia,

dan orang di seberang laut yang jauh.

7Dengan kekuatan-Mu, Engkau menegakkan gunung pada tempatnya,

untuk menunjukkan kuasa-Mu yang besar.

8Engkau meredakan deruan lautan dan gemuruh ombak;

Engkau menenangkan kegemparan bangsa-bangsa.

9Semua penduduk bumi takut dan hormat,

ketika melihat perbuatan-perbuatan-Mu yang hebat.

Tindakan-Mu membawa sorakan riang

di seluruh bumi dari hujung ke hujung.

10Engkau memelihara bumi dengan menurunkan hujan;

Engkau menjadikan tanahnya baik dan subur.

Engkau mengisi anak sungai dengan air;

Engkau menumbuhkan tanaman di bumi.

Begitulah perbuatan-Mu.

11Engkau menurunkan hujan lebat

dan mengairi ladang yang dibajak;

Engkau menggemburkan tanah dengan curahan hujan

dan menjadikan tanaman tumbuh dengan subur.

12Betapa banyaknya hasil tanaman kerana kebaikan-Mu!

Ke mana sahaja Engkau pergi, makanan berlimpah selalu.

13Padang rumput penuh dengan ternakan;

bukit-bukit penuh dengan kegembiraan.

14Ladang-ladang penuh dengan domba,

lembah-lembah penuh dengan gandum;

semuanya bersorak dan bernyanyi dengan gembira.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help