SIRAKH 43 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Matahari

1Betapa indahnya langit yang cerah di atas kita,

sungguh pemandangan yang mengagumkan dan mulia.

2Matahari yang terbit mewartakan keajaibannya

sebagai ciptaan Tuhan Yang Maha Tinggi.

3Pada waktu siang matahari menghanguskan tanah;

tidak ada yang tahan terhadap panas teriknya.

4Orang yang menjaga perapian sangat kepanasan,

tetapi matahari membakar bukit-bukit tiga kali ganda.

Matahari memancarkan sinar yang menyala;

cahayanya menyilaukan mata.

5Agunglah Tuhan yang menciptakannya,

dan dengan perintah-Nya, matahari mempercepat peredarannya.

Bulan

6Bulan pun tepat pada waktunya,

penunjuk zaman dan penanda waktu.

7Bulan menandakan hari-hari perayaan

cahayanya menjadi pudar setelah cahaya purnama.

8Bulan memberi namanya kepada masa satu bulan;

sinarnya bertambah secara ajaib dalam peredarannya.

Bulan bersinar di cakerawala

dan menjadi tanda bagi tentera angkasa.

Bintang-Bintang

9Bintang-bintang menambah semarak cakerawala,

hiasan gilang-gemilang di langit Tuhan.

10Tempatnya sudah ditentukan oleh firman Tuhan Yang Maha Tinggi;

semuanya tidak pernah jemu dalam tugas menjaga.

Pelangi

11Pandanglah pelangi dan pujilah Penciptanya.

Betapa indahnya pelangi dalam semaraknya!

12Dengan megah pelangi melingkungi bentangan langit

yang direntangkan Tuhan Yang Maha Tinggi.

Gejala-Gejala Alam

13Dengan perintah Tuhan turunlah salji;

kilat menyambar untuk menjalankan hukuman Tuhan.

14Lalu terbukalah gudang-gudang di langit

dan awan-awan keluar seperti burung yang berterbangan.

15Dengan kuasa-Nya Dia menebalkan awan-awan,

lalu memecahkannya menjadi hujan batu.

16-17Oleh sebab gemuruh petirnya, bumi meringkuk kesakitan;

gunung-gunung bergoncang melihat Tuhan datang.

Dengan kehendak-Nya bertiuplah angin selatan,

dari utara datang badai dan angin taufan.

Ditebarkan-Nya salji seperti burung yang hinggap,

seperti belalang yang mendarat.

18Sungguh menakjubkan warnanya yang putih bersih;

kita terpesona memandangnya jatuh ke bumi.

19Tuhan menghamburkan embun beku seperti garam

yang menjadi mata duri kerana kesejukan.

20Dia mendatangkan angin sejuk dari utara;

kesejukannya membuat air membeku.

Setiap kolam air menjadi beku

seolah-olah ditutupi baju besi.

21Dia menghanguskan bukit-bukit dan padang gurun,

seperti api membakar rumput.

22Tetapi semua disegarkan kembali oleh kabut;

sementara embun turun, udara menjadi sejuk.

23Dengan kuasa-Nya Dia meneduhkan samudera

dan menempatkan pulau-pulau di sana.

24Para pelaut menceritakan bahaya di lautan;

dengan hairan kita dengar akan kisah mereka.

25Sebab hal-hal aneh dan menakjubkan terdapat di sana,

pelbagai makhluk hidup dan binatang yang dahsyat.

26Setiap utusan Tuhan berjaya dalam tugasnya,

segala sesuatu diatur oleh firman-Nya.

27Masih banyak yang dapat dikatakan, tidak ada penghabisannya;

dengan singkatnya, Tuhan adalah segala-galanya.

28Bagaimanakah kita dapat memuji Dia?

Dia lebih besar daripada segala ciptaan-Nya.

29Tuhan sangat agung dan menakutkan,

kuasa-Nya teramat menakjubkan.

30Biarpun kamu memuji Dia dengan sedapat-dapatnya,

Dia lebih besar daripada pujian itu.

Biarpun kamu mengagungkan Dia dengan sekuat tenagamu,

jangan jemu, sebab pujianmu tidak pernah cukup.

31Tiada yang pernah melihat Dia dan dapat menggambarkan-Nya,

tidak ada yang mampu memberi pujian yang layak bagi-Nya.

32Masih banyak perkara besar yang belum diketahui,

sebab daripada karya-Nya hanya sebahagian kecil yang kita lihat.

33Tuhan menciptakan alam semesta,

lalu memberi kebijaksanaan kepada orang yang bertakwa.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help