1-2Seperti orang lain aku pun manusia yang fana, keturunan orang pertama yang dibentuk daripada tanah. Aku dikandung daripada benih seorang lelaki dalam nikmat hubungan suami isteri. Sembilan bulan tubuhku dibentuk dalam darah rahim ibuku.
3Aku lahir seperti manusia biasa dan menghirup udara yang sama dengan udara yang dihirup oleh semua manusia. Seperti setiap orang, suara pertama yang kuperdengarkan adalah suara tangisan.
4Aku dibedung dengan kain dan dipelihara dengan kasih sayang.
5Tidak ada raja yang mempunyai permulaan hidup yang berbeza,
6oleh sebab jalan masuk dan keluar kehidupan adalah satu dan sama bagi semua orang.
Raja Salomo Mencintai Kebijaksanaan7Maka aku berdoa dan diberi pengertian; aku mohon dan roh kebijaksanaan dicurahkan ke dalam hatiku. 1 Raj 3.6-9; Keb 9.1-18
8Aku lebih menghargainya daripada takhta dan mahkota. Dibandingkan dengan kebijaksanaan, harta kuanggap tidak bernilai.
9Permata yang mahal tidak dapat disamakan dengannya; di hadapannya semua emas di dunia hanya segenggam pasir, dan perak hanya lumpur.
10Aku menganggapnya lebih berharga daripada kesihatan dan rupa yang tampan. Aku lebih menyukainya daripada segala cahaya, kerana terang kebijaksanaan tidak pernah pudar.
11Bersama kebijaksanaan kuperoleh segala harta; kebijaksanaan mendatangkan kekayaan berlimpah bagiku.
12Dengan gembira kuterima semua itu kerana kebijaksanaanlah yang mengaturnya. Tetapi aku belum sedar bahawa semua itu berasal daripadanya.
13Dengan tulus ikhlas aku belajar daripadanya, dan dengan rela aku membahagi-bahagikannya, dan kekayaannya tidak kusembunyikan.
14Kebijaksanaan ialah harta yang tidak ada habisnya. Orang yang menggunakannya menjadi sahabat Allah, oleh sebab Allah berkenan kepada hasil kebijaksanaan.
15Semoga Allah membolehkan aku bercakap dengan pengertian, dan fikiranku sesuai dengan pemberian-Nya kepadaku, kerana Allah sendiri menuntun orang bijaksana dan menegur kesalahan mereka,
16oleh sebab kita dengan seluruh fikiran, perkataan, dan kecekapan kita ada di bawah kuasa-Nya.
17Dia sendiri memberi aku pengertian yang tepat tentang susunan alam dan segala kekuatannya,
18tentang awal, pertengahan, dan akhir zaman, tentang gerakan matahari dan musim yang silih berganti,
19tentang pusingan tahun dan tempat bintang-bintang,
20tentang sifat binatang dan naluri binatang buas, tentang kekuatan angin dan daya fikir manusia, tentang bermacam-macam tanaman dan khasiat akarnya.
21Aku mempelajari hal-hal yang sudah diketahui mahupun yang masih tersembunyi kerana diajar oleh kebijaksanaan yang membentuk segala sesuatu.
Sifat Kebijaksanaan22Roh kebijaksanaan itu arif dan suci; dia tunggal tetapi banyak caranya dia menyatakan diri. Dia halus dan bergerak dengan bebas, jelas, bersih, terang, dan tidak dapat dirosak. Dia cerdas dan suka akan kebaikan.
23Dia tidak terkalahkan, dia murah hati dan sayang kepada manusia. Dia boleh diharap, mantap, dan tidak kenal susah. Dia mengawasi dan menguasai segala-galanya serta menyelami semua roh arif dan murni, bahkan yang paling halus.
24Kebijaksanaan lebih mudah bergerak daripada segala gerakan; kerana bersih, dia menembus segala sesuatu.
25Kebijaksanaan ialah nafas kekuatan Allah, pancaran murni daripada kemuliaan Yang Maha Kuasa. Maka tiada sesuatu pun yang bernoda dapat menyusup ke dalamnya,
26oleh sebab kebijaksanaan adalah pantulan cahaya abadi dan cermin sempurna bagi kegiatan dan kebaikan Allah.
27Meskipun sendirian, kebijaksanaan mampu melakukan segalanya. Walaupun kebijaksanaan sendiri tidak berubah, kebijaksanaan membaharui semuanya. Turun-temurun kebijaksanaan masuk ke dalam jiwa orang suci dan menjadikan mereka nabi dan sahabat Allah.
28Tidak ada orang yang lebih dikasihi Tuhan daripada orang yang hidupnya diresapi kebijaksanaan,
29kerana kebijaksanaan lebih indah daripada matahari dan susunan bintang-bintang. Kebijaksanaan lebih baik daripada terang siang,
30oleh sebab siang berganti malam, tetapi kebijaksanaan tidak dapat dikuasai oleh kejahatan.
Who We AreWhat We EelieveWhat We Do
2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.