YUDIT 16 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Lagu Pujian Yudit

1Inilah nyanyian Yudit,

“Pujilah Allahku, bernyanyilah bagi-Nya

dengan iringan gendang dan canang.

Nyanyikanlah lagu pujian bagi-Nya,

pujilah Dia dan sanjunglah nama-Nya,

2oleh sebab Tuhan itu Allah yang mengakhiri perang;

Dia menempatkan perkhemahan-Nya di tengah umat-Nya

dan menyelamatkan aku daripada mereka yang mengejar aku.

3Orang Asyur turun dari pergunungan di utara,

askar mereka puluhan ribu banyaknya.

Pasukan mereka menyumbat sungai-sungai,

pasukan berkudanya menutup bukit-bukit.

4Mereka mengancam akan membakar negeri kita,

menumpas pemuda-pemuda kita dengan pedang,

mencampakkan bayi-bayi kita,

mengambil anak-anak kita sebagai tawanan

dan gadis-gadis kita sebagai jarahan.

5Tetapi mereka dicegah oleh Tuhan Yang Maha Kuasa

dengan perantaraan seorang wanita.

6Pahlawan mereka gugur, bukan oleh askar muda,

atau kerana diserang dan dibunuh raksasa.

Dia dilumpuhkan oleh Yudit anak Merari,

dengan kecantikan wajahnya.

7-8Untuk memberi kemenangan

kepada bangsa Israel yang tertindas,

dia menanggalkan pakaian balunya

dan memakai baju linen untuk memikatnya.

Minyak wanginya harum semerbak,

rambutnya terikat dengan pita.

9Kasut Yudit yang indah menarik perhatiannya,

kecantikan Yudit memikat hatinya,

lalu pedang memotong tengkuknya.

10Keberanian Yudit membuat orang Persia takut,

tekadnya menjadikan orang Media terkejut.

11Bangsaku yang lemah dan tertindas

telah meneriakkan pekik pertempuran,

sehingga musuh takut dan gempar,

lalu berbalik melarikan diri.

12Kita ini keturunan hamba abdi,

tetapi berhasil mengalahkan musuh.

Kita menumpaskan mereka seperti hamba pelarian;

mereka binasa oleh tentera Tuhan.

13Aku mahu menyanyikan lagu baru bagi Allahku.

Ya Tuhan, Engkau agung dan mulia,

Engkau kuat tidak terkalahkan.

14Semua ciptaan-Mu harus mengabdi kepada-Mu,

oleh sebab mereka dijadikan atas perintah-Mu

dan dihidupkan oleh nafas-Mu;

tiada yang dapat melawan perintah-Mu.

15Gunung-gunung dan lautan gementar,

batu meleleh seperti lilin di hadapan-Mu.

Tetapi orang yang taat kepada-Mu

akan mendapat belas kasihan.

16Korban wangi-wangian terlalu kecil,

lebih kecil lagi lemak korban untuk menyenangkan hati Tuhan.

Tetapi orang yang takut kepada Tuhan,

dialah yang besar selama-lamanya.

17Celakalah bangsa yang melawan bangsa kita!

Mereka akan dihukum oleh Tuhan Yang Maha Kuasa

pada hari penghakiman.

Dia akan mendatangkan api dan cacing

untuk membinasakan tubuh mereka.

Mereka akan menangis kesakitan

untuk selama-lamanya.”

Kemasyhuran Yudit

18Pada waktu semua orang itu tiba di Yerusalem, mereka melakukan upacara penyucian lalu menyembah Allah. Mereka mempersembah korban untuk menyenangkan hati Tuhan, korban sukarela dan persembahan lainnya.

19Kepada Allah, Yudit mempersembahkan segala milik Holofernes yang diberikan kepadanya. Kelambu yang telah diambilnya dari tempat tidur Holofernes, diserahkannya kepada Tuhan sebagai korban penunai nazar.

20Tiga bulan lamanya peristiwa itu dirayakan oleh mereka di hadapan Rumah Tuhan di Yerusalem, dan Yudit tinggal di situ bersama-sama mereka.

21Sesudah perayaan itu berakhir, setiap orang pulang ke rumah masing-masing. Yudit pulang ke Betulia dan tinggal di rumah warisan suaminya. Namanya termasyhur di seluruh negeri Israel.

22Dia dilamar oleh banyak orang, tetapi sepeninggal Manasye suaminya, dia tidak pernah berkahwin lagi.

23-24Dia menjadi sangat tua di rumahnya di Betulia. Sebelum meninggal dia membahagikan miliknya kepada sanak saudaranya yang dekat dan membebaskan perempuan yang menjadi hambanya. Dia meninggal pada umur 105 tahun dan dikuburkan di samping suaminya. Tujuh hari lamanya orang Israel berkabung atas kematiannya.

25Selama Yudit masih hidup dan bertahun-tahun sesudah dia meninggal, tiada seorang pun yang berani mengganggu Israel.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help