TAMBAHAN ESTER E - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Surat Perintah Raja Ahasyweros Membela Orang Yahudi(Di antara Ester 8.12 dan 8.13)

1Inilah salinan surat Raja: “Daripada Raja Ahasyweros yang Agung kepada para gabenor 127 buah daerah dari India hingga ke Etiopia, dan kepada semua orang yang setia kepada beta, salam!

2Banyak orang menjadi sombong setelah diberi kehormatan dan dilimpahi dengan kebaikan.

3Mereka tidak tahu harus berbuat apa dengan kelimpahan mereka, sehingga mereka tidak hanya merugikan rakyat, bahkan berusaha untuk mencelakakan orang yang telah berbuat baik kepada mereka.

4Mereka tidak berterima kasih atas kebaikan yang telah diterima oleh mereka, dan terpengaruh oleh orang yang tidak mengenal kebaikan. Mereka menyangka dapat terlepas daripada hukuman Allah yang melihat segala sesuatu dan yang membenci kejahatan.

5Sering terjadi bahawa sahabat-sahabat yang diberi kepercayaan oleh orang yang berkuasa, menyalahgunakan kepercayaan itu. Atas ajakan mereka, orang berkuasa itu ikut berdosa kerana membunuh orang yang tidak bersalah. Dengan demikian mereka terjerumus ke dalam malapetaka yang tidak dapat dipulihkan.

6Dengan tipu muslihat, orang seperti itu memperdayakan ketulusan hati penguasa mereka.

7Kejahatan orang yang menyalahgunakan kekuasaan tidak hanya dapat dilihat dalam kisah-kisah zaman dahulu, tetapi juga sekarang di kalangan kita.

8Selanjutnya, beta mahu mengusahakan supaya kerajaan ini tetap aman dan tenteram bagi semua orang.

9Untuk mencapai maksud itu, beta mahu mengadakan beberapa perubahan. Setiap persoalan yang dihadapkan kepada beta akan beta adili dengan sikap yang lebih wajar.

10Begitu juga halnya dengan Haman anak Hamedata, orang Makedonia. Dia orang asing yang tidak berdarah Persia, dan sedikit pun tidak memiliki sifat murah hati seperti beta. Dia hanya bertamu pada beta,

11dan beta berikan kepadanya kasih seperti yang beta berikan kepada semua orang. Bahkan dia telah dinyatakan sebagai bapa negara dan dihormati sebagai orang kedua selepas raja.

12Tetapi kerana kesombongannya, dia berusaha untuk membunuh beta dan merebut kerajaan ini.

13Dengan cara yang sangat licik dia minta supaya Mordekhai dihukum mati -- Mordekhai yang pernah menyelamatkan hidup beta dan sangat berjasa. Bahkan dia juga menuntut kematian Ester, permaisuri yang tidak bercela, dan kematian seluruh bangsa Yahudi.

14Dengan cara itu Haman mahu membuat beta tidak berdaya, sehingga orang Makedonia dapat mengambilalih kerajaan Persia.

15Walaupun penjahat yang keparat itu merancang untuk membasmi orang Yahudi, beta sendiri mendapati bahawa mereka bukan pengkhianat. Sebaliknya, mereka diperintah oleh hukum yang sangat adil.

16Mereka anak-anak Allah yang hidup, Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, yang menjaga kerajaan ini supaya sentiasa tertib dan teratur sejak zaman nenek moyang beta sehingga sekarang.

17Kandungan surat yang dikeluarkan oleh Haman anak Hamedata itu hendaknya jangan kamu jalankan.

18Oleh sebab Haman yang bertanggungjawab terhadap semua itu, dia berserta seluruh keluarganya, sudah digantung dekat pintu gerbang kota Susan. Itulah hukuman yang setimpal, yang dengan segera dijatuhkan Allah Yang Maha Kuasa terhadap Haman.

19Salinan surat ini hendaklah kamu lekatkan di setiap tempat umum. Izinkanlah orang Yahudi mengikuti adat istiadat mereka sendiri,

20dan bantulah mereka supaya dapat membela diri apabila diserang pada tarikh tiga belas bulan Adar, iaitu bulan dua belas, hari yang ditetapkan untuk kebinasaan mereka.

21Hal itu demikian kerana Allah Yang Maha Kuasa telah mengubah hari kebinasaan itu menjadi hari kesukaan bagi bangsa pilihan-Nya.

22Sedangkan kamu sendiri, bangsa Yahudi, hendaklah kamu peringati hari ini sebagai hari besar dengan mengadakan perjamuan-perjamuan pesta.

23Dengan demikian hari perayaan ini, baik sekarang mahupun kemudian, menjadi peringatan bagi kita dan sekutu-sekutu kita di kalangan orang Persia bahawa Allah menjaga bangsa kita, dan lawan-lawan kita diperingatkan bahawa Allah akan membinasakan mereka.

24Tanpa kekecualian, setiap kota dan daerah yang tidak mentaati perintah ini akan dihancurkan tanpa ampun dan dibakar sehingga habis. Untuk selama-lamanya daerah itu tidak akan diinjak oleh manusia, bahkan dijauhi oleh binatang liar dan burung-burung.”

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help