TOBIT 3 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Doa Tobit

1Bukan main sedihnya hati saya, sehingga saya menangis. Lalu dengan berkeluh-kesah saya berdoa begini,

2“Engkau adil, ya Tuhan.

Engkau berbelas kasihan dalam semua perbuatan-Mu

dan setia dalam semua tindakan-Mu;

Engkaulah yang menghakimi alam semesta.

3-4Perlakukanlah aku dengan baik

dan jangan hukum aku kerana dosa-dosaku,

dan dosa-dosa yang tersembunyi.

Nenek moyangku memberontak dan melanggar perintah-Mu;

janganlah hukum aku kerana dosa-dosa mereka.

Kaubiarkan kami dirompak, ditawan dan dibunuh,

disindir, diejek, dan dihina

di negeri-negeri tempat kami dalam pembuangan.

5Tepatlah semua hukuman-Mu,

apabila Engkau menghukum kami kerana kesalahan kami.

Kami tidak setia; kami menolak perintah-Mu

dan tidak hidup semestinya di hadapan-Mu.

6Sekarang perlakukanlah aku sesuka hati-Mu,

cabutlah nyawaku supaya aku hilang dari muka bumi,

dan kembali menjadi debu.

Mati lebih baik bagiku daripada hidup,

kerana aku terus difitnah dan dihina,

dan hatiku sangat sedih.

Ya Tuhan, biarlah semua kesusahan ini berakhir;

bawalah aku ke kediaman abadi.

Janganlah Engkau tolak doaku,

ya Tuhan,

kerana lebih baik aku mati

daripada hidup sengsara dan terus dinista.”

Kesusahan Sara

7Pada hari itu juga di kota Ekbatana di Media, Sara anak perempuan Raguel dihina oleh pelayan wanita bapanya.

8Sara sudah berkahwin tujuh kali, tetapi setiap kali sebelum dapat bersetubuh, Asmodeus, syaitan jahat, membunuh suaminya. Maka pelayan itu berkata kepada Sara, “Engkau sendiri yang membunuh suami-suamimu! Engkau sudah dikahwinkan dengan tujuh orang, tetapi semuanya mati sebelum dapat hidup bersamamu.

9Mengapa engkau menghukum kami kerana kematian mereka? Lebih baik engkau sendiri pergi menyusul mereka, supaya kami tak akan melihat seorang pun anakmu!”

10Apabila mendengar hal itu, Sara sangat sedih. Dia menangis tersedu-sedu dan naik ke loteng rumah bapanya untuk menggantung diri. Tetapi sesudah berfikir, dia berkata dalam hati, “Ah, jangan. Nanti bapaku dihina orang. Mereka akan berkata kepadanya, ‘Engkau mempunyai anak perempuan yang sangat dikasihi. Tetapi dia menggantung diri kerana kesusahannya.’ Lalu kesedihan bapaku yang sudah tua itu pasti akan membawanya ke liang kubur. Jadi daripada menggantung diri, lebih baik berdoa kepada Tuhan supaya aku mati saja. Maka aku tak akan mendengar penghinaan itu lagi.”

Doa Sara

11Lalu Sara mengangkat tangannya ke arah jendela sambil berdoa begini,

“Terpujilah Engkau, ya Allah Penyayang!

Semoga nama-Mu selalu dihormati.

Semoga Engkau diagungkan oleh seluruh ciptaan-Mu

untuk selama-lamanya.

12Ya Tuhan, aku memandang Engkau

dan berdoa kepada-Mu.

13Aku mohon, biarlah aku mati saja,

supaya aku tidak mendengar penghinaan itu lagi.

14Engkau tahu, Tuhan, bahawa aku masih dara,

belum pernah disentuh laki-laki.

15Belum pernah kunodai namaku atau nama bapaku,

selama tinggal di tanah pembuangan ini.

Aku anak tunggal ayahku,

satu-satunya anggota warisnya.

Tidak ada saudara ayah atau sanak saudara lain

yang berhak memperisteri aku.

Aku sudah kehilangan tujuh orang suami;

apa gunanya terus hidup begini?

Tetapi jika Tuhan tidak menghendaki aku mati,

dengarkanlah keluh-kesahku, ya Tuhan!”

Tuhan Mengabulkan Doa Tobit dan Sara

16Sementara Tobit dan Sara sedang berdoa, Allah Yang Maha Tinggi mendengar permohonan mereka

17dan mengutus Rafael, malaikat-Nya untuk menolong mereka. Dia diutus untuk menghilangkan lapisan putih dari mata Tobit supaya dia dapat melihat sekali lagi. Rafael juga diutus untuk mengatur perkahwinan Sara dengan Tobias anak Tobit. Tobias itu orang yang paling berhak untuk berkahwin dengan Sara. Rafael juga ditugaskan untuk membebaskan Sara daripada syaitan Asmodeus.

Pada saat Tobit meninggalkan halaman untuk masuk ke dalam rumahnya, pada saat itu juga Sara di Ekbatana turun dari loteng.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help