MAZMUR 40 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Doa Kesyukuran

1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.

2Aku menanti pertolongan TUHAN dengan sabar,

lalu Dia memperhatikan aku dan mendengar seruanku.

3Dia menarik aku dari lubang yang berbahaya,

dari paya yang berlumpur.

Dia meletakkan aku di atas batu

sehingga langkahku kukuh.

4Dia mengajar aku menyanyi lagu yang baru,

lagu pujian untuk Allah kita.

Banyak orang yang melihat perkara ini akan menjadi takut

lalu percaya kepada TUHAN.

5Berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN,

orang yang tidak menyembah berhala

atau mengikut mereka yang menyembah dewa.

6Engkau telah melakukan banyak perkara untuk kami,

ya TUHAN, Allahku, Engkau tidak ada bandingnya!

Engkau telah membuat banyak rancangan yang baik untuk kami,

tidak mungkin aku dapat menceritakan segalanya.

7Engkau tidak mahu korban dan persembahan;

Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa.

Tetapi Engkau telah memberi aku telinga

yang dapat mendengar firman-Mu.

8Oleh itu aku menyahut, “Inilah aku;

arahan-Mu untukku tercatat di dalam kitab Taurat.

9 Ibr 10.5-7 Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Allahku!

Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.”

10Dalam perhimpunan umat-Mu aku menceritakan berita baik

bahawa Engkau telah menyelamatkan kami.

Dengan tidak hentinya, aku menceritakannya.

Ya TUHAN, Engkau mengetahui semuanya.

11Aku tidak menyimpan berita penyelamatan itu dalam hati;

aku selalu menceritakan pertolongan dan kesetiaan-Mu.

Dalam perhimpunan umat-Mu, aku tidak pernah berdiam diri

tentang kesetiaan dan kasih-Mu.

12Ya TUHAN, janganlah berhenti mengasihani aku;

peliharalah aku dengan kasih dan kesetiaan-Mu.

Doa Minta Tolong(Mzm 70)

13Aku dikelilingi banyak kesusahan,

jumlahnya tidak terkira.

Dosa-dosaku telah mengejar aku,

sehingga aku tidak dapat melihat.

Jumlahnya melebihi rambut di kepalaku,

dan aku kehilangan semangat.

14Ya TUHAN, selamatkanlah aku!

Ya TUHAN, cepatlah tolong aku!

15Biarlah mereka yang cuba membunuh aku

dikalahkan dan dibingungkan.

Biarlah mereka yang gembira kerana kesusahanku,

dipukul mundur dan dipermalukan.

16Biarlah mereka yang mengejek aku

terkejut dan malu kerana dikalahkan.

17Semoga semua orang yang datang kepada-Mu

bergembira dan bersukacita!

Semoga mereka yang bersyukur bagi penyelamatan-Mu

sentiasa berkata, “Sungguh agungnya TUHAN!”

18Aku lemah dan tidak berdaya;

tetapi Engkau, ya Tuhan, mengingati aku.

Engkaulah penolong dan penyelamatku;

cepatlah datang menolong aku, ya Allahku!

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help