SIRAKH 51 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Lagu Kesyukuran

1Aku bersyukur kepada-Mu, ya Tuhan dan Raja,

kupuji Engkau, ya Allah dan Penyelamatku.

Aku bersyukur kepada-Mu

2kerana Engkau menolong dan melindungi aku.

Engkau telah menyelamatkan aku daripada kematian,

daripada fitnah dan dusta yang mencelakakan.

Di hadapan musuh-musuhku

Engkau telah menolong aku.

3Kerana belas kasihan-Mu yang besar

dan demi nama-Mu, Kauselamatkan aku

daripada musuh yang mahu menerkam aku,

daripada tangan lawan yang mahu membunuh aku,

daripada kesusahan besar yang menimpa diriku,

4daripada mati lemas kerana api yang mencekik di sekelilingku,

dari tengah api yang tidak kunyalakan,

5-6daripada penipu dan pendusta,

daripada fitnah yang disampaikan kepada raja,

daripada maut yang mendekat

dan dari liang kubur yang menganga.

7Aku dikepung dari semua tempat;

kucari seorang penolong, tetapi tidak mendapat seorang pun.

8Maka aku ingat belas kasihan-Mu, ya Tuhan,

dan perbuatan-Mu pada masa yang silam.

Aku ingat bahawa Engkau membebaskan orang

yang percaya kepada-Mu,

dan menyelamatkan mereka daripada musuh.

9Lalu dari bumi aku memohon kepada-Mu

dan berdoa supaya dilepaskan daripada maut.

10Kumohon kepada-Mu, ya Bapaku,

janganlah tinggalkan aku dalam kesusahanku,

waktu aku tidak berdaya menghadapi musuh yang bongkak.

11Aku mahu memuji Engkau selalu

dan menyanyikan lagu kesyukuran bagi-Mu,

kerana Engkau telah mendengar doaku,

12dan menyelamatkan aku daripada kebinasaan

serta melepaskan aku daripada kemalangan.

Maka aku bersyukur dan memuji Engkau;

ya Tuhan, aku memuliakan Engkau.

Mencari Kebijaksanaan

13-14Waktu aku masih muda, sebelum memulai perjalanan-perjalananku, aku pergi ke Rumah Allah dan berdoa dengan sungguh-sungguh memohon kebijaksanaan. Aku akan tetap mencarinya hingga akhir hidupku.

15Sejak muda aku bergembira atas kebijaksanaan yang berkembang seperti buah anggur yang menjadi masak. Sejak kecil aku biarkan diriku dibimbing oleh kebijaksanaan.

16Baru sahaja aku mula mendengarkannya, aku mendapat kebijaksanaan dan banyak pengajaran.

17Aku terus maju dan menghormati orang yang telah memberi aku kebijaksanaan.

18Aku bertekad untuk hidup bijaksana. Dengan giat aku mencari apa yang baik, dan aku tidak kecewa.

19Aku berjuang untuk memperoleh kebijaksanaan dan dengan cermat mentaati hukum Tuhan. Waktu berdoa, aku berasa sedih kalau menyedari bahawa aku masih kurang bijaksana.

20Tetapi aku berkeras hati untuk memperoleh kebijaksanaan. Aku menemukannya dengan jalan menjauhkan diri daripada dosa. Sejak permulaan bersama kebijaksanaan aku memperoleh pengertian, dan kerananya aku tidak pernah ditinggalkan.

21Oleh sebab hasratku untuk memilikinya, aku telah mendapatnya dengan berlimpah-limpah.

22Tuhan mengganjari aku dengan memberi aku kepandaian bertutur, dan aku mahu menggunakannya untuk memuji Dia.

23Datanglah kepadaku, hai kamu sekalian yang belum diajar, dan belajarlah di sekolahku.

24Mengapa kamu masih kekurangan pengajaran, padahal kamu sangat merindukannya?

25Dengarlah kata-kataku: Tidak perlu wang untuk menjadi bijaksana,

26asal mahu belajar dan tidak segan bersusah-susah. Kesempatan selalu ada.

27Lihatlah sendiri; dengan berusaha sedikit sahaja, aku sudah mendapat ketenangan besar.

28Walaupun kamu harus bersusah payah, hasil yang kamu perolehi jauh lebih banyak daripada usahamu.

29Bergembiralah selalu kerana belas kasihan Tuhan dan jangan malu memuji-Nya.

30Lakukanlah tugasmu sebelum habis waktunya, maka pada saat yang tepat kamu menerima upah daripada Tuhan.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help