TOBIT 13 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Lagu Pujian Tobit

1Kemudian Tobit berdoa begini,

“Terpujilah Allah yang hidup selama-lamanya,

terpujilah Dia yang berkuasa!

2Memang Dia menghukum,

tetapi Dia juga mengasihani.

Dia menurunkan kita ke dunia orang mati,

kemudian Dia membangkitkan kita daripada kebinasaan;

tidak ada yang dapat terlepas daripada kuasa-Nya.

3Hai Israel, bersyukurlah kepada-Nya

di depan bangsa-bangsa,

tempat kamu diasingkan.

4Khabarkanlah kebesaran-Nya di sana,

agungkanlah Dia di hadapan segala yang hidup;

kerana Dialah Allah, Tuhan kita,

Bapa kita untuk selama-lamanya.

5Biarpun Dia menyeksa kamu kerana kejahatanmu,

Dia akan mengasihani kamu lagi

dan memulangkan kamu dari antara bangsa-bangsa,

tempat kamu dicerai-beraikan.

6Jika kamu kembali kepada-Nya

dengan sepenuh hati dan segenap jiwamu

dan melakukan yang benar di hadapan-Nya,

pasti Dia berbalik untuk menolong kamu

dan tidak terus bersembunyi daripadamu.

7Lihatlah apa yang telah dikerjakan Allah bagimu,

bersyukurlah kepada-Nya dengan suara nyaring.

Pujilah Tuhan oleh sebab Dia adil,

agungkanlah Raja yang kekal abadi.

8Biarpun aku tinggal dalam pembuangan,

aku akan bersyukur juga kepada Tuhan

dan menyatakan kekuasaan-Nya yang besar

kepada orang yang berdosa.

Bertaubatlah daripada dosa-dosamu

dan lakukanlah apa yang dikehendaki Allah.

Siapa tahu Dia akan berkenan

dan berbelas kasihan kepadamu.

9Aku mahu mengagungkan Allahku dan Raja Yang Maha Tinggi,

hatiku bersorak kerana kebesaran-Nya.

10Hendaknya semua orang mengkhabarkan keagungan-Nya

dan menyanyikan lagu pujian bagi-Nya di Yerusalem.

Hai Yerusalem, kota suci,

engkau dihukum kerana dosa-dosa pendudukmu.

Tetapi Tuhan berbelas kasihan

kepada orang yang melakukan kehendak-Nya.

11Maka bersyukurlah kepada Tuhan sebagaimana layaknya,

pujilah Raja yang kekal abadi.

Semoga Rumah-Nya dibina kembali

dan kamu bergembira lagi.

12Tuhan akan menggembirakan semua orang buanganmu,

dan pendudukmu yang menderita

dikasihi-Nya untuk selama-lamanya.

13Yerusalem, cahayamu akan bersinar cemerlang

bagi seluruh dunia.

Dari jauh bangsa-bangsa datang kepadamu

untuk menyembah Tuhan Allah.

Tangan mereka penuh dengan persembahan

bagi Raja Yang Maha Tinggi.

Turun-temurun orang akan bergembira kerana engkau,

dan namamu sebagai kota pilihan Tuhan

akan bertahan selama-lamanya.

14Terkutuklah semua orang yang mengherdik engkau,

yang merobohkan dan menghancurkan tembok-tembokmu,

yang membongkar menara-menaramu

dan membakar rumah-rumahmu.

Diberkatilah untuk selama-lamanya

semua orang yang menghormati engkau.

15Bersukacitalah dan bersoraklah, hai Yerusalem,

kerana pendudukmu yang melakukan yang benar.

Mereka akan pulang daripada pembuangan

dan menyanyikan pujian bagi Tuhan.

Berbahagialah orang yang mencintai engkau

dan yang gembira melihat kesejahteraanmu.

16Berbahagialah orang yang menangis kerana penderitaanmu,

kerana mereka akan melihat sukacitamu

dan bergembira untuk selama-lamanya.

Aku memuji Allah, Raja Yang Agung,

17kerana Yerusalem akan dibina semula

menjadi kediaman-Nya yang abadi.

Yerusalem, betapa gembiranya hatiku,

apabila keturunanku dapat melihat kemegahanmu

dan bersyukur kepada Raja Yang Maha Tinggi.

Gerbangmu daripada zamrud dan nilam,

tembokmu daripada batu permata.

Menara-menaramu daripada emas

dan kubu-kubumu daripada emas murni.

Jalan-jalanmu dilapis dengan batu delima

dan batu-batu permata yang berharga.

18Dari gerbang-gerbangmu terdengar lagu-lagu gembira

dan dari rumah-rumahmu orang akan berseru,

‘Terpujilah Tuhan! Terpujilah Allah Israel!’

Orang yang diberkati Allah Yang Suci

akan memuji-Nya untuk selama-lamanya.”

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help