1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.
2Aku dalam kesusahan, ya Allah - dengarlah doaku!
Aku takut kepada musuhku - selamatkanlah aku!
3Lindungilah aku daripada komplot orang derhaka,
dan daripada rusuhan orang durjana.
4Lidah mereka setajam pedang,
kata-kata mereka berbisa seperti anak panah beracun.
5Mereka menyebarkan dusta dari tempat persembunyian;
mereka membinasakan orang baik dengan fitnah.
6Mereka menggalakkan sesama sendiri untuk melakukan yang jahat;
mereka berunding tentang tempat memasang perangkap;
mereka menyangka tiada orang yang melihat.
7Mereka membuat rancangan jahat dan berkata,
“Kita telah merancang jenayah yang licik sekali.”
Sungguh dalamnya hati serta fikiran manusia,
sehingga tidak dapat diselami.
8Tetapi Allah melepaskan anak panah-Nya terhadap mereka,
dan dengan serta-merta mereka cedera.
9Dia akan membinasakan mereka kerana kata-kata mereka;
semua orang yang melihat mereka akan menggelengkan kepala.
10Mereka akan ketakutan;
mereka memikirkan tindakan Allah,
dan memberitakan perbuatan-Nya.
11Semua orang baik akan bergirang kerana perbuatan TUHAN;
mereka akan mendapat perlindungan daripada-Nya;
semua orang yang tulus akan memuji Dia.
Who We AreWhat We EelieveWhat We Do
2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.