SIRAKH 42 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Rasa Bangga

1Jangan berdosa kerana memihak dan jangan berasa malu kerana hal-hal ini:

2Taurat dan perjanjian Allah Yang Maha Tinggi;

keputusan yang memberi keadilan, bahkan kepada orang jahat;

3berkongsi biaya dengan rakan atau teman seperjalanan;

membahagi warisan teman;

4menggunakan takaran dan ukuran yang tepat;

mendapat keuntungan, sama ada besar atau kecil;

5mendapat untung daripada tawar-menawar dengan seorang pedagang;

berulang-ulang mendisiplinkan anak-anakmu;

memukul seorang hamba yang tidak setia sehingga berdarah.

6Sebaiknya, simpanlah milikmu di tempat yang terkunci kalau isterimu tidak dapat dipercayai, atau jika terdapat banyak orang berkumpul.

7Hitunglah dan timbanglah apa yang kausimpan di tempat lain, dan catatlah semua pemasukan dan pengeluaranmu.

8Jangan malu untuk mengajar orang bodoh atau orang lanjut usia yang dituduh kerana hidup tidak senonoh. Maka engkau menjadi orang yang sungguh terdidik dan terpuji di hadapan setiap orang.

Menjaga Anak Perempuan

9Diam-diam seorang bapa tidak dapat tidur kerana memikirkan anak perempuannya. Waktu anak itu masih muda, bapanya khuatir jangan-jangan dia tidak mendapat suami. Sesudah anak itu berkahwin, bapanya khuatir jangan-jangan dia dibenci suaminya.

10Waktu dia masih perawan, bapanya cemas jangan-jangan dia dicemarkan dan menjadi hamil sementara masih tinggal di rumah bapanya. Sesudah dia kahwin, bapanya cemas jangan-jangan dia mandul atau tidak setia.

11Awasilah dengan ketat anak perempuanmu yang keras kepala. Kalau tidak, engkau dijadikan bahan tertawaan musuh-musuhmu, buah bibir orang sekota, bahan ejekan orang, dan engkau ditertawakan di hadapan orang ramai. Sir 7.24-25, 26.10-12

12Jangan pandang siapa pun kerana kecantikannya, dan jangan duduk-duduk bersama dengan perempuan,

13kerana daripada mereka datang kejahatan, seperti ngengat dari pakaian.

14Lebih baik seorang lelaki yang jahat daripada seorang perempuan yang pura-pura baik. Seorang perempuan mendatangkan malu dan nista.

Keagungan Allah dalam Ciptaan

15Aku hendak mengenangkan karya Tuhan,

apa yang kulihat akan kuwartakan;

semuanya telah dijadikan oleh firman-Nya.

16Sinar suria menerangi segala-galanya;

karya Tuhan dipenuhi dengan kemuliaan-Nya.

17Bahkan kepada para malaikat-Nya Tuhan tidak memberi kemampuan

untuk menceritakan segala perbuatan-Nya yang mengagumkan,

yang ditentukan Tuhan Yang Maha Kuasa

supaya alam semesta kukuh dalam kemuliaan-Nya.

18Dia menyelami lautan dan hati manusia

dan mengetahui segala rancangannya.

Yang Maha Tinggi tahu segala yang dapat diketahui,

tanda-tanda zaman difahami-Nya.

19Dia memberitahukan yang dahulu dan yang akan datang

dan menyingkapkan rahsia yang paling dalam.

20Dia memperhatikan segala fikiran kita

dan mendengar setiap kata yang kita ucapkan.

21Dunia yang rapi teratur

menampakkan kebijaksanaan-Nya yang besar;

Dia yang esa dan kekal abadi.

Tidak ada yang dapat ditambahkan atau dikurangi daripada-Nya,

Dia tidak memerlukan sesiapa pun sebagai penasihat.

22Seluruh karya Tuhan menawan hati,

sehinggakan percikan api yang paling kecil.

23Semuanya hidup dan giat sepanjang masa

dan dengan patuh memenuhi segala tujuan masing-masing.

24Segalanya dijadikan berpasangan yang saling berlawanan;

tidak ada yang kurang sempurna dalam ciptaan Tuhan.

25Setiap satu melengkapi kebaikan yang lain,

tidak puas-puasnya kita memandang keagungan-Nya.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help