AYUB 16 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Ayub

1Kemudian Ayub menjawab,

2“Aku pernah mendengar kata-kata demikian;

penghiburan yang kamu berikan itu hanya seksaan.

3Adakah kamu akan bercakap selama-lamanya?

Apakah yang merangsang kamu untuk terus berkata-kata?

4Jika kamu ini aku, dan aku pula kamu,

aku pun dapat bercakap seperti itu.

Aku akan membanjiri kamu dengan perkataan;

dan menggelengkan kepala.

5Aku dapat menguatkan kamu dengan nasihatku,

dan terus bercakap untuk menghiburkan kamu.

6Jika aku bercakap, tidak ada gunanya;

jika aku berdiam diri, deritaku tidak reda.

7Allah telah melelahkan aku,

Dia telah membunuh keluargaku.

8Dialah musuhku dan telah menawan aku.

Kini kurus keringlah tubuhku,

dan bagi banyak orang itulah buktinya

bahawa aku telah berdosa.

9Oleh kemurkaan-Nya, Allah menyiat tubuhku;

dengan kebencian, Dia memandang aku.

10Orang mengejek aku;

mereka mengeroyok aku dan menampar mukaku.

11Allah telah menyerahkan aku kepada orang derhaka;

aku dijatuhkan-Nya ke dalam tangan orang durjana.

12Dahulu hidupku aman dan sentosa,

tetapi Allah menyerang aku dengan tiba-tiba.

Leherku dicengkeram-Nya dan aku dicampakkan;

aku dijadikan-Nya sasaran untuk latihan.

13Tanpa belas kasihan Dia memanah aku dari segala arah,

sehingga aku cedera dan luka.

14Dia mencederakan aku berulang-ulang;

Dia menyerang seperti seorang pejuang.

15Aku memakai kain guni tanda kesedihan,

aku duduk di atas debu kerana dikalahkan.

16Aku menangis sehingga mukaku merah,

dan kelopak mataku bengkak dan hitam.

17Tetapi aku tidak melakukan perbuatan ganas,

dan doaku tetap ikhlas.

18Hai bumi, kejahatan terhadapku jangan sembunyikan.

Jangan diamkan teriakanku minta keadilan.

19 Ayb 19.25 Ada pembelaku di syurga

yang akan memberikan kesaksian bahawa aku tidak berdosa.

20Sahabat-sahabatku menghina aku,

aku menangis di hadapan Allah.

21Aku ingin agar ada orang merayu kepada Allah bagiku,

seperti orang merayu untuk sahabatnya.

22Tahun-tahunku tidak banyak lagi,

aku akan pergi dan tidak kembali lagi.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help