MAZMUR 26 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Doa Orang yang Tidak Bersalah

1Mazmur Daud.

Berilah aku keadilan, ya TUHAN,

kerana aku melakukan yang benar,

dan aku percaya kepada-Mu dengan sepenuhnya.

2Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku,

selidiklah keinginanku dan fikiranku.

3Kasih-Mu membimbing aku;

kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku.

4Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna;

aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura.

5Aku membenci pergaulan dengan orang jahat,

dan aku menjauhkan diri daripada penjahat.

6Ya TUHAN, aku membasuh tanganku tanda tidak bersalah,

dan aku mengelilingi mazbah-Mu untuk menyembah Engkau.

7Aku menyanyikan sebuah mazmur

dan memberitakan segala perbuatan-Mu yang ajaib itu.

8Ya TUHAN, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu,

tempat yang penuh dengan kemuliaan-Mu.

9Janganlah musnahkan aku bersama-sama orang berdosa;

lindungilah aku daripada nasib pembunuh,

10iaitu orang yang sentiasa melakukan kejahatan

dan selalu sedia menerima rasuah.

11Tetapi aku hidup dengan tulus hati;

kasihanilah dan selamatkanlah aku.

12Aku selamat daripada segala bahaya;

aku akan memuji TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help