1Pada hari itu orang jujur akan berdiri dengan penuh keyakinan di hadapan orang yang telah menganiayanya dan meremehkan jerih payahnya.
2Mereka akan kehairanan melihat orang jujur itu selamat, dan akan gementar kerana ketakutan yang dahsyat.
3Lalu mereka akan menyesali perbuatan mereka dan sambil mengeluh kerana cemas, mereka berkata sesama sendiri,
4“Dialah orang yang dahulu kita tertawakan dan kita jadikan bahan ejekan. Kita ini orang bodoh kerana menganggap cara hidupnya seperti orang gila dan kematiannya tidak terhormat.
5Sekarang dia termasuk golongan anak-anak Allah dan tempatnya di kalangan orang suci.
6Jadi kitalah yang tersesat daripada jalan yang benar. Kita tidak disinari terang kebenaran dan tidak pernah menangkap cahayanya.
7Seumur hidup, kita menempuh jalan-jalan dosa yang menuju ke arah kebinasaan. Kita melintasi padang gurun yang tidak ada jalannya. Jalan-jalan Tuhan tidak kita kenal.
8Kita membanggakan diri kita dan bercakap tentang kekayaan kita. Tetapi sekarang apa gunanya itu bagi kita?
9Semuanya itu hilang seperti bayangan, seperti khabar yang hanya sepintas lalu.
10Sebuah perahu yang belayar mengharung ombak di laut tidak meninggalkan bekas dan tidak ada kesan perahu itu pernah lewat.
11Seekor burung yang terbang melintasi udara tidak meninggalkan bekas di tempat yang dilaluinya, oleh sebab udara yang ringan dibelahnya dengan kebasan sayapnya. Terbangnya cepat dan tidak ada bekas di tempat burung lewat.
12Sebatang anak panah yang ditembakkan ke arah sasaran membelah udara. Tetapi udara yang dibelahnya segera mengalir kembali, sehingga jalan yang telah dilaluinya tidak diketahui orang.
13Demikianlah halnya kita ini; baru lahir, kita sudah lenyap. Tidak ada kesan kebajikan yang kita tinggalkan; kita telah dibinasakan oleh kejahatan kita sendiri.”
14Harapan orang jahat seperti sekam yang diterbangkan angin, seperti buih air laut yang hilang dalam badai. Harapan itu seperti asap yang dicerai-beraikan angin atau seperti kenangan akan tamu yang datang sehari sahaja.
15Sebaliknya orang jujur hidup selama-lamanya. Mereka dilindungi Tuhan dan menerima pahala daripada Yang Maha Tinggi.
16Mereka akan diagungkan seperti raja dan diberi mahkota yang sangat indah. Tuhan akan membela dan melindungi mereka dengan tangan-Nya yang kuat.
17Dia akan memakai tekad-Nya sebagai perlengkapan perang. Seluruh ciptaan-Nya dikerahkan-Nya sebagai senjata untuk mengalahkan musuh.
18Keadilan akan menjadi baju zirah-Nya dan keputusan yang jujur menjadi topi besi-Nya.
19Kesucian adalah perisai-Nya yang tidak dapat dikalahkan,
20dan kemurkaan-Nya yang kejam dijadikan pedang-Nya yang terasah. Semua kekuatan alam dikerahkan-Nya melawan orang bodoh yang menentang Dia.
21Kilat akan menyambar dan tepat menuju sasarannya, seolah-olah Tuhan sedang menembak panah dengan awan sebagai busur-Nya.
22Dengan murka, Tuhan melemparkan hujan batu kepada orang jahat; laut dan sungai-sungai mengamuk membanjiri mereka.
23Mereka akan dilanda taufan dan badai dan dicerai-beraikan. Kejahatan akan membinasakan seluruh bumi dan banyak pemerintahan akan jatuh kerana perbuatan jahat.
Who We AreWhat We EelieveWhat We Do
2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.