KEBIJAKSANAAN SALOMO 10 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Kebijaksanaan Melindungi Adam

1Kebijaksanaan melindungi bapa umat manusia yang diciptakan sebagai manusia pertama, waktu dia masih sendiri. Kebijaksanaan menyelamatkannya daripada akibat dosa

2dan memberi kekuatan kepadanya untuk menguasai segala-galanya. Kain Meninggalkan Kebijaksanaan

3Tetapi ada seorang jahat yang meninggalkan kebijaksanaan. Dalam kemarahannya dia membunuh saudaranya sehingga dia sendiri binasa. Kebijaksanaan Melindungi Nuh

4Kerana kejahatan itu, bumi dilanda banjir tetapi diselamatkan lagi oleh kebijaksanaan. Seorang yang tulus hati dibimbingnya dalam kapal kayu yang kurang bermutu. Kebijaksanaan Menolong Abraham

5Sesudah bangsa-bangsa menjadi kacau-bilau dalam rancangan mereka yang jahat, kebijaksanaan menemukan seorang yang baik lalu menjaganya supaya dia tidak bercela di sisi Allah. Dia menguatkan hati orang itu untuk lebih mentaati Allah daripada menyayangi anaknya. Kebijaksanaan Menyelamatkan Lot

6Sementara orang jahat jatuh binasa, kebijaksanaan menyelamatkan orang yang baik, sehingga dia terlepas daripada api yang membinasakan lima buah kota.

7Bukti-bukti kejahatan penduduknya masih dapat dilihat. Negeri itu menjadi padang gurun yang berasap, dan buah di pohon-pohon tidak pernah menjadi masak. Tiang garam yang masih berdiri tegak mengingatkan kepada seorang yang tidak percaya.

8Penduduk kota-kota itu mengesampingkan kebijaksanaan, sehingga mereka tidak dapat membezakan yang baik daripada yang jahat. Reruntuhan kota-kotanya juga mengingati kita akan kebodohan mereka, sehingga kita tidak dapat melupakan kesalahan mereka.

9Tetapi orang yang melayan kebijaksanaan diselamatkan daripada kesusahan. Kebijaksanaan Melindungi Yakub

10Pernah kebijaksanaan menunjukkan jalan kepada seorang yang baik sewaktu dia melarikan diri daripada kemarahan saudaranya. Kebijaksanaan menampakkan pemerintahan Allah dan memperkenalkan hal-hal yang suci kepadanya. Kebijaksanaan membuatnya sejahtera dan berhasil dalam segala jerih payahnya.

11Apabila mereka yang serakah ingin merampas miliknya, kebijaksanaan mendampingi orang itu dan membuatnya kaya.

12Kebijaksanaan melindunginya daripada musuh-musuh yang mengadang, dan memberinya kemenangan dalam pertempuran yang sengit, supaya dia tahu bahawa tidak ada orang yang lebih kuat daripada yang mengabdi kepada Allah. Kebijaksanaan Menyelamatkan Yusuf

13Kebijaksanaan tetap menyertai seseorang yang dijual sebagai hamba. Kebijaksanaan menjaganya daripada dosa,

14dan mengikutinya ke dalam penjara. Di sana kebijaksanaan tidak pernah meninggalkannya sehingga dia telah diberi kuasa terhadap suatu kerajaan, dan dijadikan penguasa bagi orang yang telah menindasnya. Dengan demikian kebijaksanaan menunjukkan bahawa dia telah dituduh dengan palsu. Kemudian kebijaksanaan memberi dia kemuliaan abadi. Kebijaksanaan Membimbing Orang Israel Keluar dari Mesir

15Kebijaksanaan menyelamatkan suatu bangsa yang suci dan tidak bercela daripada bangsa lain yang menindas mereka.

16Kebijaksanaan mengilhami seorang hamba Tuhan dan dengan banyak keajaiban menentang raja-raja yang menakutkan.

17Kebijaksanaan memberi umat Allah upah jerih payah mereka, dan membimbing mereka melalui jalan yang ajaib. Kebijaksanaan menjadi naungan pada waktu siang dan cahaya bintang pada waktu malam bagi mereka.

18Kemudian kebijaksanaan menghantar mereka melalui Laut Gelagah yang dalam.

19Tetapi musuh-musuh mereka ditenggelamkannya dan mayat-mayat mereka dihanyutkannya ke pantai.

20Orang baik merampas harta orang yang tidak mengenali Allah. Oleh itu mereka menyanyikan puji-pujian bagi nama-Mu yang suci, ya Tuhan. Mereka bersama-sama memuji Engkau, kerana Engkau telah membela mereka.

21Kebijaksanaan membuat orang bisu dapat bercakap dan membuat kanak-kanak bercakap dengan lancar.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help