MAZMUR 41 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Doa Minta Penyembuhan

1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.

2Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang tidak berdaya;

TUHAN akan menolong mereka ketika mereka dalam kesusahan.

3TUHAN akan melindungi dan memelihara mereka,

TUHAN akan membahagiakan mereka di negeri ini;

TUHAN tidak akan menyerahkan mereka kepada musuh.

4TUHAN akan menolong mereka ketika mereka sakit

dan memulihkan kesihatan mereka.

5Aku berkata, “Ya TUHAN, aku telah berdosa terhadap-Mu;

kasihanilah aku dan sembuhkanlah aku!”

6Musuhku mengumpat aku.

Mereka mahu aku mati dan dilupakan.

7Mereka yang mengunjungi aku tidak ikhlas;

mereka mengumpulkan segala berita yang buruk tentang aku,

lalu keluar dan menyebarkannya ke mana-mana.

8Semua orang yang membenci aku berbisik-bisik tentang diriku,

mereka memikirkan yang paling buruk tentang aku.

9Mereka berkata, “Dia sakit teruk sekali

dan tidak akan bangun dari katilnya lagi.”

10 Mat 26.23; Mrk 14.18; Luk 22.21; Yoh 13.18 Bahkan sahabat karibku yang paling aku percayai,

orang yang makan bersama-samaku, telah menentang aku.

11Kasihanilah aku, ya TUHAN, dan pulihkanlah kesihatanku,

agar aku dapat membalas musuh-musuhku.

12Maka tahulah aku bahawa Engkau berkenan kepadaku,

kerana musuhku tidak akan mengalahkan aku.

13Engkau akan menolong aku, kerana ketulusanku;

Engkau membolehkan aku berada di hadirat-Mu selama-lamanya.

14 Mzm 106.48 Marilah kita memuji TUHAN, Allah umat Israel;

pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya.

Amin! Amin!

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help