YUDIT 7 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Betulia Dikepung

1-2Hari berikutnya, Holofernes menyiapkan seluruh tenteranya dan pasukan-pasukan sekutunya. Tenteranya itu sangat besar jumlahnya, terdiri daripada pasukan tentera berjalan kaki sebanyak 120,000 orang dan pasukan berkuda sebanyak 12,000 orang, belum terhitung pasukan bantuan dan orang yang mengurus perlengkapan perang. Mereka disuruh berangkat ke Betulia untuk merebut semua jalan di gunung dan menyerang orang Israel. Maka berangkatlah mereka

3dan berkhemah dekat dengan mata air di lembah tidak jauh dari Betulia. Mereka menduduki daerah yang sangat luas, yang meluas dari dekat Dotaim sampai Belbaim, dan memanjang dari Betulia hingga Kuamon yang letaknya berhadapan dengan Lembah Esdrelon.

4Apabila melihat besarnya tentera itu, orang Israel sangat ketakutan dan berkata-kata sesama mereka, “Askar-askar itu akan menelan segala-galanya. Di seluruh pergunungan, lembah-lembah, dan bukit-bukit ini tak ada cukup makanan untuk tentera sebesar itu.”

5Lalu semua orang Israel mengangkat senjata mereka, memasang api pemberi isyarat di atas menara-menara mereka dan berjaga sepanjang malam. 1 Mak 12.28-29

6Hari berikutnya, Holofernes keluar dengan seluruh pasukan berkudanya supaya terlihat oleh orang Israel di Betulia.

7Diperiksanya semua jalan ke kota itu dan semua mata air yang memberi persediaan air kepada penduduknya. Lalu ditempatkannya beberapa pasukan askar untuk menjaga tempat-tempat itu, dan selepas itu dia kembali kepada pasukannya.

8Kemudian semua ketua suku bangsa Edom dan Moab berserta para panglima dari pantai Laut Tengah datang menghadap Holofernes dan berkata,

9“Sudilah tuan mendengar nasihat kami supaya tentera tuan tak ditimpa bencana.

10Orang Israel tak terlalu bergantung kepada senjata mereka, melainkan pergunungan tinggi yang didiami oleh mereka, kerana gunung-gunung itu sukar didaki.

11Oleh sebab itu tuan jangan adakan serangan langsung, supaya tentera tuan tiada yang gugur.

12Hendaklah tuan tinggal saja di perkhemahan tuan, dan biarkan para askar tinggal di perkhemahan mereka. Suruhlah hamba-hamba tuan ini menjaga semua mata air di kaki pergunungan,

13kerana ke situlah penduduk Betulia pergi mengambil air. Nanti kalau mereka sudah hampir mati kehausan, mereka akan menyerahkan kota mereka kepada tuan. Sementara itu kami dan orang kami akan naik ke puncak-puncak gunung dekat sini. Kami akan berkhemah di situ dan berjaga-jaga, supaya tiada orang yang meninggalkan kota.

14Semua orang, wanita dan anak-anak akan merana kelaparan. Bahkan sebelum diserang, mereka akan terbaring di jalan-jalan.

15Dengan cara itu tuan dapat menghukum mereka kerana mereka memberontak dan tak mahu menyerah dengan damai kepada tuan.”

16Holofernes dan semua pegawainya suka dengan usul itu, maka diperintahkannya supaya segera dilaksanakan.

17Pasukan orang Amon dan 5,000 orang Asyur memindahkan perkhemahan mereka ke lembah untuk menguasai mata air penduduk kota.

18Orang Edom dan orang Amon naik ke pergunungan dan berkhemah di situ berhadapan dengan kota Dotaim. Beberapa orang antara mereka dikirim ke tenggara, ke arah Egrebel dekat dengan Husa yang terletak di tepi Sungai Mokhmur. Pasukan Asyur lainnya berkhemah di lembah. Kawasan itu penuh dengan mereka, oleh sebab khemah dan perlengkapan perang mereka sangat banyak jumlahnya.

Penduduk Betulia Putus Asa

19Lalu orang Israel berseru kepada Allah mereka untuk meminta pertolongan. Mereka sudah tawar hati kerana dikepung musuh dari setiap penjuru dan tidak ada kemungkinan untuk melepaskan diri.

20Seluruh tentera Asyur, pasukan tentera berjalan kaki, kereta kuda perang dan pasukan berkuda, mengepung Betulia selama tiga puluh empat hari sampai kota itu kehabisan air. Semua balang air

21dan perigi-perigi mulai kosong, sehingga air minum harus dicatu dan tiada seorang pun dapat minum sehingga puas.

22Anak-anak menjadi lemah; kaum wanita dan orang muda merana sehingga jatuh pengsan di jalan-jalan kota dan di pintu gerbang. Mereka semua sudah kehabisan tenaga.

23Lalu seluruh penduduk kota, lelaki, wanita, dan anak-anak menghadap Uzia dan para pemimpin kota. Dengan suara nyaring mereka berseru,

24“Semoga Allah menghakimi tuan-tuan kerana mendatangkan bencana besar terhadap kami dan tak mahu merundingkan perdamaian dengan orang Asyur.

25Sekarang tiada yang mahu menolong kita! Allah sudah menyerahkan kita ke dalam kekuasaan mereka. Kita sudah kehabisan tenaga dan hampir mati kehausan.

26Panggillah orang Asyur sekarang! Biarlah kita menyerah diri saja kepada mereka. Biarkan Holofernes dan tenteranya mengambil kota ini dan merompaknya.

27Lebih baik kita menjadi tawanan perang. Biarlah kita dijadikan hamba abdi, asal saja kita dapat hidup terus, dan tak usah melihat anak isteri kita mati.

28Langit dan bumi menjadi saksi terhadap tuan-tuan, demikian juga Allah kita, Tuhan nenek moyang kita yang menghukum kita kerana dosa-dosa mereka mahupun dosa-dosa kita sendiri. Semoga malapetaka itu tak menimpa kita hari ini!”

29Lalu semua orang di situ mula meratap dan berdoa kepada Tuhan Allah dengan suara nyaring.

30Kemudian Uzia berkata kepada mereka, “Jangan putus asa, saudara-saudara! Baiklah kita tunggu lima hari lagi untuk melihat sama ada Tuhan, Allah kita akan mengasihani kita, kerana Dia tak akan meninggalkan kita sama sekali.

31Tapi kalau sesudah lima hari tak ada bantuan, saya akan melakukan apa yang saudara-saudara usulkan.”

32Lalu Uzia menyuruh semua orang itu pergi. Semua lelaki kembali ke tempat penjagaan masing-masing di tembok kota dan menara, sedangkan kaum wanita dan anak-anak disuruh pulang ke rumah mereka. Seluruh penduduk kota itu dalam keadaan sedih dan tertekan.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help