1Marilah kita memuji orang termasyhur,
leluhur kita daripada generasi-generasi yang lampau.
2Tuhan memberi mereka kehormatan besar
dan keagungan-Nya yang ada sejak awal zaman.
3Di kalangan mereka ada yang menjadi raja
yang terkenal kerana keperkasaan mereka;
yang termasyhur sebagai penasihat bijaksana,
dan yang mengucapkan nubuat-nubuat.
4Mereka membimbing bangsa dengan pertimbangan
dan mengerti apa yang harus diajarkan kepada rakyat
serta mengajar mereka dengan kata-kata bijaksana.
5Mereka menggubah lagu-lagu merdu
dan menulis sajak-sajak.
6Mereka kaya dan berkuasa
dan tinggal di rumah-Nya dengan tenteram.
7Mereka semua orang yang dibanggakan
dan dihormati orang pada zaman mereka.
8Beberapa orang antaranya meninggalkan nama baik,
dan masih terus dipuji orang.
9Ada juga yang tidak diingat lagi,
tetapi lenyap seolah-olah tidak pernah hidup.
Mereka seolah-olah tidak pernah dilahirkan,
begitu juga keturunan mereka.
10Tetapi berikut ini orang salih;
perbuatan baik mereka tidak akan dilupakan.
11Semuanya tetap tinggal pada keturunan mereka
sebagai harta yang diwariskan mereka.
12Keturunan mereka setia kepada perjanjian
kerana jasa nenek moyang mereka.
13Keturunan mereka berlangsung selama-lamanya
dan kemasyhuran mereka tidak akan pudar.
14Jenazah mereka dimakamkan dengan tenteram
dan nama baik mereka dikenang sepanjang zaman.
15Kebijaksanaan mereka dikisahkan oleh bangsa-bangsa
dan mereka dipuji-puji oleh umat.
Henokh16Henokh menjadi teladan taubat bagi semua generasi. Dia menyenangkan hati Tuhan dan diangkat dari bumi ini. Nuh
17Nuh seorang yang jujur dan tidak bercela. Waktu terjadi bencana besar, dia memungkinkan kelangsungan umat manusia. Kerana dia, masih ada manusia di bumi ini sesudah air bah.
18Tuhan membuat perjanjian abadi dengannya: Segala yang hidup tidak akan dimusnahkan lagi oleh banjir. Abraham
19Abraham menjadi nenek moyang yang termasyhur kepada banyak bangsa. Namanya harum, tidak ada tandingnya.
20Dia mentaati hukum Allah Yang Maha Tinggi, dan Tuhan membuat perjanjian dengan dia. Perjanjian itu ditandai pada tubuhnya. Ketika diuji, dia ternyata setia.
21Maka Tuhan berjanji dengan sumpah kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi berkat bagi dunia. Jumlah mereka akan bertambah sehingga tidak dapat dihitung seperti debu di bumi dan bintang-bintang di langit. Tanah pusaka mereka akan terbentang dari laut ke laut, dari Sungai Efrat hingga ke hujung-hujung bumi. Ishak dan Yakub
22-23Tuhan membaharui perjanjian dengan Ishak demi Abraham bapanya, kemudian dengan Yakub. Dia mengulangi janji-Nya bahawa keturunan Abraham akan menjadi berkat bagi seluruh umat manusia. Tuhan menegaskan kepada Yakub bahawa dia akan diberkati, lalu memberi kepadanya tanah pusaka yang akan menjadi miliknya. Tanah itu dibahagi-bahagikannya kepada kedua belas suku.
Who We AreWhat We EelieveWhat We Do
2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.