YUDIT 5 - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Sidang di Khemah Holofernes

1Holofernes, panglima tinggi tentera Asyur, mendengar bahawa orang Israel bersiap-siap untuk bertempur. Mereka sudah menutup jalan-jalan di pergunungan, memperkuat pertahanan di puncak-puncak gunung dan memasang rintangan di dataran.

2Maka meluaplah kemarahan Holofernes. Dipanggilnya semua pemimpin Moab, para panglima Amon dan semua gabenor daerah di sepanjang pantai Laut Tengah.

3Dia berkata kepada mereka, “Kamu tinggal di Kanaan. Oleh sebab itu ceritakanlah kepadaku tentang bangsa yang tinggal di pergunungan itu. Kota-kota manakah yang didiami oleh mereka? Berapakah jumlah pasukan mereka dan apakah sumber kekuatan dan kuasa mereka? Siapakah raja yang mengetuai tenteranya?

4Daripada semua bangsa di barat, mengapa hanya mereka yang tak datang untuk bertemu dengan aku?”

Sambutan Akhior

5Lalu Akhior, pemimpin bangsa Amon, menjawab begini, “Sudilah tuan mendengarkan cerita saya tentang orang yang mendiami pergunungan dekat dengan khemah tuan itu. Saya tak berbohong kepada tuan.

6Mereka keturunan orang Babilonia,

7-8yang meninggalkan adat istiadat nenek moyang mereka dan menyembah Allah Yang Maha Tinggi yang dikenali oleh mereka. Kemudian mereka diusir dari negeri mereka kerana tak mahu menyembah dewa-dewa nenek moyang mereka. Lalu mereka lari ke Mesopotamia dan tinggal lama di sana.

9Kemudian Allah mereka menyuruh mereka meninggalkan Mesopotamia dan pergi ke negeri Kanaan. Mereka menetap di situ dan menjadi kaya kerana memiliki banyak emas, perak, dan ternakan. Kej 11.31—12.5

10Ketika negeri Kanaan dilanda kebuluran, mereka pergi ke Mesir dan tinggal di negeri itu selama mereka mendapat nafkah. Di situ mereka berkembang menjadi bangsa yang besar, sehingga jumlah mereka tak dapat dihitung. Kej 42.1-5; Kel 1.7

11Lalu raja Mesir mula memusuhi mereka. Dengan licik baginda membebani mereka dengan kerja paksa membuat batu bata. Mereka ditindas dan diperhamba. Kel 1.8-14

12Tapi mereka berdoa kepada Allah mereka, lalu Dia mendatangkan bencana-bencana sehingga orang Mesir tak berdaya. Pada waktu orang Mesir mengusir mereka dari negeri itu, Kel 7.1—12.46

13Allah orang Israel mengeringkan Laut Merah di depan mereka, Kel 14.21-22

14lalu membimbing mereka sepanjang jalan menuju ke Sinai dan Kades-Barnea.

Kemudian orang Israel mengusir semua penduduk padang gurun.

15Mereka sendiri menduduki negeri orang Amori, menghapuskan penduduk Hesbon, menyeberangi Sungai Yordan, lalu menduduki seluruh daerah pergunungan.

16Mereka mengusir orang Kanaan, Feris, Yebusi, penduduk Sikhem, dan semua orang Girgasi. Lama orang Israel tinggal di daerah pergunungan itu.

17Allah mereka benci akan kejahatan, dan selama mereka tidak berdosa kepada-Nya, mereka sejahtera. Ul 28.1-68

18Tapi ketika mereka tidak taat kepada-Nya, mereka mengalami kekalahan besar dalam banyak peperangan dan akhirnya diangkut sebagai tawanan ke negeri asing. Rumah ibadat Allah mereka dihancurkan sampai serata tanah dan kota-kota mereka diduduki lawan mereka.

19Kerana mereka berbalik kepada Allah mereka, sekarang mereka sudah kembali dari negeri-negeri tempat mereka dicerai-beraikan. Mereka sudah menetap lagi di pergunungan yang selama itu tak didiami. Yerusalem sudah menjadi milik mereka kembali dan di kota itu ada Rumah Allah mereka.

20Jadi tuan, kalau orang di situ berdosa terhadap Allah mereka, dan kalau kita mempunyai kepastian bahawa mereka sudah melakukan suatu pelanggaran, baiklah kita maju dan berperang dengan mereka.

21Tapi kalau mereka tetap taat kepada perintah Allah mereka, lebih baik tuan tak apa-apakan mereka. Kalau tuan menyerang mereka juga, mereka akan dibela Allah mereka, lalu kita mendapat malu di depan seluruh dunia.”

Sambutan Orang Ramai terhadap Hujah Akhior

22Sesudah Akhior selesai bercakap, semua orang yang berdiri di sekeliling khemah berteriak tidak setuju. Para pegawai tinggi Holofernes dan orang Moab serta penduduk daerah pantai menuntut supaya Akhior dibunuh.

23“Tak perlu kita takut kepada orang Israel!” kata mereka. “Mereka lemah dan tak mungkin membuat pertahanan yang kuat.

24Mari kita maju, Panglima Holofernes! Tentera tuan dapat menghapuskan mereka dengan mudah!”

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help