1Sementara Raja Antiokhus yang Keempat sedang menjelajah dataran tinggi Persia, baginda mendengar bahawa kota Elimais terkenal kerana emas dan peraknya.
2Kuil di kota itu juga sangat kaya, kerana di situ disimpan perisai-perisai emas, baju-baju zirah, dan senjata yang ditinggalkan Aleksander putera kepada Raja Filipus, raja pertama Makedonia.
3Maka datanglah Raja Antiokhus hendak menawan dan menjarah kota itu. Tetapi baginda tidak berjaya kerana maksudnya diketahui oleh penduduk.
4Mereka memberi perlawanan terhadapnya sehingga baginda lari dan pulang ke Babel dengan kesal hati.
5Ketika Raja Antiokhus masih di Persia, seorang utusan datang kepadanya dan mengkhabarkan bahawa pasukan-pasukan yang dikirimnya ke Yudea dikalahkan.
6Khususnya berita bahawa Lisias dengan pasukannya yang kuat terpaksa melarikan diri daripada orang Yahudi yang bertambah kuat kerana senjata, perlengkapan, dan barang jarahan yang diambil oleh mereka daripada pasukan-pasukan yang dikalahkan mereka.
7Orang Yahudi juga sudah membongkar apa yang disebut oleh mereka “Bencana Yang Dahsyat” yang didirikan oleh Raja Antiokhus di atas mazbah di Yerusalem. Di sekeliling Rumah Tuhan telah didirikan tembok yang tinggi seperti dahulu. Kota Bet-Zur, salah sebuah kota raja, juga ditawan dan diperkuat.
8Apabila mendengar laporan itu, raja terperanjat dan menderita kekejutan sehingga gering. Baginda sangat sakit hati oleh sebab semuanya tidak terjadi seperti yang dirancang oleh baginda.
9Lama sekali baginda berbaring di situ, kerana terus terombang-ambing oleh rasa murung yang mencekam. Akhirnya baginda sedar bahawa ajalnya sudah tiba.
10Maka baginda memanggil semua sahabat baginda dan bertitah kepada mereka, “Beta tak dapat beradu dan hati beta tertekan kerana cemas.
11Semula beta bertanya pada diri sendiri mengapa beta ditimpa kesukaran yang bertubi-tubi ini, padahal selama pemerintahan beta, beta baik hati dan disukai orang.
12Tapi sekarang beta teringat akan segala kejahatan yang beta lakukan di Yerusalem, dengan merampas barang-barang emas dan perak dari Rumah Allah dan tanpa alasan menyuruh menumpas penduduk Yudea.
13Beta insaf bahawa itulah sebabnya beta ditimpa malapetaka ini. Sekarang beta akan mangkat dengan sangat sedih di negeri asing.”
14Lalu baginda memanggil Filipus, seorang sahabat baginda, dan melantiknya menjadi pemerintah seluruh kerajaan.
15Baginda menyerahkan mahkota kerajaan, jubah, dan cincin meterai baginda kepada Filipus dengan pesan supaya Filipus mengasuh dan mendidik Antiokhus putera baginda supaya kelak menjadi raja.
16Maka mangkatlah Raja Antiokhus yang Keempat di situ dalam tahun 149.
17Ketika Lisias mendengar bahawa raja sudah mangkat, dia mengangkat Antiokhus yang muda menjadi raja. Sejak kecil baginda telah diasuh oleh Lisias. Sekarang baginda diberi nama Eupator.
Yudas Mengepung Kubu di Yerusalem(2 Mak 13.1-26, 11.22-26)18Sementara itu askar di dalam kubu di Yerusalem menutup jalan bagi orang Israel di sekeliling Rumah Allah. Tidak henti-hentinya mereka menyusahkan orang Israel dan menyokong orang asing.
19Oleh itu Yudas memutuskan untuk menumpaskan mereka. Dia mengumpulkan seluruh rakyat untuk mengepung kubu itu.
20Mereka berkumpul dan mengepung kubu itu dalam tahun 150. Mereka membuat menara-menara pengepungan dan kayu-kayu pelantak.
21Tetapi beberapa orang dapat melepaskan diri daripada pengepungan, dan bersama dengan beberapa orang Yahudi yang derhaka,
22mereka menghadap raja dan berkata, “Berapa lamakah tuanku akan menunggu sebelum menegakkan hukum dan membalas perbuatan mereka terhadap saudara-saudara kami?
23Kami sudah mengabdi kepada ayahanda tuanku dengan sukarela, menuruti semua titah baginda dan mentaati semua perintah baginda.
24Tapi justeru kerana hal itu kami dimusuhi oleh orang sebangsa kami, dan kubu kami dikepung. Bahkan mereka membunuh siapa sahaja daripada kalangan kami yang ditemui mereka, dan mereka menyita milik kami.
25Lagi pula bukan kami saja yang diserang oleh mereka, tetapi juga daerah di sekeliling mereka.
26Sekarang mereka telah mengepung kubu di Yerusalem untuk merebutnya. Mereka juga telah memperkuat Rumah Allah dan kota Bet-Zur.
27Kalau tuanku tidak menghalang mereka dengan segera, mereka akan berbuat lebih banyak lagi, dan tuanku tak akan dapat menghalang mereka.”
Penyerbuan Raja Antiokhus yang Kelima dan Lisias28Apabila mendengar hal itu raja menjadi murka. Baginda mengumpulkan semua sahabat, para panglima tentera, dan pegawai pasukan berkuda.
29Baginda juga mengupah sejumlah besar pasukan daripada kerajaan-kerajaan lain dan dari pulau-pulau di Laut Tengah.
30Jumlah bala tentera baginda bertambah menjadi 100,000 orang bagi pasukan tentera berjalan kaki, 20,000 orang bagi pasukan berkuda, dan 32 ekor gajah yang terlatih untuk bertempur.
31Mereka melalui daerah Idumea dan mengepung kota Bet-Zur. Mereka membuat kayu-kayu pelantak dan berhari-hari lamanya bertempur di situ. Tetapi penduduk kota yang dikepung itu bertempur dengan gagah berani. Mereka keluar dari kota dan membakar kayu-kayu pelantak itu.
32Kemudian Yudas menarik pasukan-pasukannya dari kubu di Yerusalem dan berkhemah di Bet-Zakarya berhadapan dengan tentera raja.
33Pada hari esoknya pagi-pagi lagi, raja memerintahkan tentera baginda untuk serentak berangkat menuju Bet-Zakarya. Lalu barisan siap tempur disusun dan trompet dibunyikan.
34Gajah-gajah disiapkan untuk pertempuran dengan menunjukkan air buah anggur dan air buah strawberi kepada mereka.
35Binatang-binatang besar itu ditempatkan di antara barisan perang. Setiap gajah diiringi 500 orang pilihan daripada pasukan berkuda dan 1,000 orang yang memakai baju zirah berantai dan topi gangsa.
36Pasukan itu harus mengambil tempat di hadapan gajah. Ke mana sahaja gajah itu pergi, mereka mesti mengikutnya dan tidak boleh meninggalkannya.
37Sebuah menara kayu yang kukuh dipasang dengan alat-alat khas di atas belakang setiap gajah. Menara itu merupakan tempat perlindungan bagi seorang pawang dan empat orang askar yang mengendarainya.
38Pasukan berkuda yang lainnya ditempatkan raja di kiri kanan bala tentera baginda supaya dapat melindungi pasukan tentera berjalan kaki sementara mengacau-bilaukan musuh.
39Sinar matahari yang dipantulkan oleh perisai-perisai emas dan gangsa seperti obor sehingga menerangi pergunungan.
40Sebahagian daripada bala tentera raja tersebar di lereng gunung dan sebahagian lagi di dataran rendah, tetapi mereka semua mara dengan terarah dan teratur.
41Semua orang takut dan gempar mendengar teriakan, bunyi senjata yang gemerencing, dan derap kaki tentera yang besar dan kuat itu.
42Lalu Yudas dan pasukannya mara ke medan pertempuran dan membunuh 600 orang tentera raja.
43Seorang bernama Eleazar Avaran tiba-tiba melihat seekor gajah yang lebih besar daripada yang lain dan dilengkapi dengan baju perang kerajaan. Dia menyangka gajah itu dikendarai oleh raja.
44-46Dengan berani dia lari menuju gajah yang di tengah-tengah pasukan tentera berjalan kaki. Sementara mara, dia membunuh askar-askar di kiri kanannya sehingga musuh mundur dari kedua-dua sisinya. Lalu dia menyusup di bawah gajah itu dan menikamnya sehingga mati. Gajah itu rebah ke tanah tepat di atas Eleazar sehingga dia pun gugur. Begitulah Eleazar mengorbankan hidupnya untuk menyelamatkan bangsanya dan untuk mendapat nama harum yang abadi.
47Tetapi orang Yahudi melihat bahawa tentera raja sangat kuat dan bertekad untuk berperang. Oleh itu tentera Yahudi mengundur diri.
Kota Bet-Zur Ditawan dan Bukit Sion Dikepung Musuh48Kemudian tentera raja mara ke Yerusalem untuk menyerang orang Yahudi di sana. Mereka memerangi seluruh daerah Yudea dan Yerusalem.
49Lalu raja mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi di Bet-Zur. Kebetulan tahun itu tahun Sabat, dan mereka tidak boleh menanami ladang. Jadi persediaan makanan mereka tidak cukup untuk dapat bertahan dalam pengepungan yang lama. Maka mereka terpaksa meninggalkan kota.
50Dengan demikian kota Bet-Zur direbut oleh raja. Baginda menempatkan sebuah pasukan tentera untuk menjaga tempat itu.
51Berhari-hari lamanya baginda mengepung Rumah Allah. Baginda menyuruh orang membuat menara-menara pengepungan dan kayu-kayu pelantak, api dan batu, pelempar anak panah dan batu.
52Orang Yahudi juga membuat senjata untuk menangkis senjata musuh. Pertempuran itu berlangsung lama sekali.
53Persediaan makanan di Rumah Allah sudah habis, kerana tahun itu tahun Sabat. Sisa makanan pun sudah dihabiskan oleh orang Yahudi yang berlindung diri di Yudea daripada bangsa lain.
54Oleh sebab bencana kelaparan itu orang terpaksa berpencar ke tempat masing-masing, dan hanya sedikit orang yang tinggal di Rumah Allah.
Raja Menjamin Kebebasan Agama55-56Sementara itu Lisias mendengar bahawa Filipus dengan tentera kerajaan sudah kembali dari Persia dan Media. Filipus telah ditugaskan oleh Raja Antiokhus semasa hidupnya untuk mengasuh Antiokhus putera baginda sehingga menjadi raja. Lisias juga mendengar bahawa Filipus berusaha untuk merebut kuasa.
57Maka Lisias memerintahkan untuk segera berangkat. Dia berkata kepada raja, para panglima, dan anak buahnya, “Kita semakin hari semakin lemah. Perbekalan kita tinggal sedikit dan tempat yang kita kepung ini sangat kuat. Selain itu ada urusan negara yang sangat mendesak.
58Kerana itu baiklah kita berdamai sahaja dengan orang Yahudi dan seluruh bangsa mereka.
59Biarlah kita izinkan mereka hidup menurut hukum mereka sendiri seperti dahulu. Justeru kerana kita menghapuskan hukum dan adat mereka, kita menimbulkan kemarahan mereka sehingga mereka melakukan semua itu.”
60Usul itu disetujui oleh raja dan para panglima baginda. Maka Lisias mengajukan usul perdamaian kepada orang Yahudi, dan mereka menerimanya.
61Kemudian raja dan para panglima mengangkat sumpah bahawa mereka akan memegang janji mereka. Oleh itu orang Yahudi keluar dari kubu.
62Tetapi setelah raja tiba di Bukit Sion dan melihat bahawa kubunya sangat kuat, baginda mengingkari janjinya dan memerintahkan supaya tembok di sekelilingnya dibongkar.
63Lalu baginda cepat-cepat pulang ke Antiokhia. Baginda mendapati Filipus sudah menguasai kota itu. Raja bertempur melawan Filipus dan menawan kota itu dengan kekerasan.
Who We AreWhat We EelieveWhat We Do
2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.