TAMBAHAN ESTER D - Today's Malay Version with Deuterocanonicals

Permaisuri Ester Menghadap Raja(Sebelum Ester 5.1)

1Tiga hari lamanya Permaisuri Ester berdoa. Lalu ditanggalkannya baju yang dipakai baginda selama itu, dan dikenakannya lagi pakaian kebesarannya.

2Setelah berdandan dengan semarak, baginda berdoa lagi kepada Allah dan Penyelamat yang melihat segala-galanya. Lalu baginda meninggalkan bilik baginda, diiringi dua orang dayang;

3seorang menopang lengannya,

4dan seorang lagi berjalan di belakangnya untuk memegang hujung baju baginda.

5Wajah Permaisuri Ester berseri-seri memancarkan kecantikannya. Baginda kelihatan gembira seperti seorang kekasih, padahal hatinya gempar ketakutan.

6Semua pintu dilaluinya, lalu baginda berdiri di hadapan raja. Raja bersemayam di atas takhtanya dengan pakaian kebesaran yang gemerlapan, seluruhnya bertaburan emas dan permata. Baginda sangat menakjubkan,

7dan wajah baginda memancarkan keagungan. Tetapi ketika baginda melihat Permaisuri Ester, muka baginda menjadi merah kerana murka. Permaisuri Ester menjadi lemas dan pucat, lalu jatuh pengsan. Kepala baginda terkulai pada bahu dayang-dayang yang berjalan di hadapannya.

8Tetapi Allah mengubah hati raja, sehingga baginda menjadi lemah lembut. Dengan penuh rasa cemas baginda turun dari takhta dan mendakap Permaisuri Ester sehingga permaisuri itu dapat berdiri. Lalu raja menenangkan Permaisuri Ester dengan kata-kata yang ramah.

9“Apa yang terjadi, Ester?” kata baginda. “Beta ini suamimu. Jangan takut!

10Engkau tak akan mati. Peraturan itu hanya berlaku untuk orang biasa.

11Mari!”

12Lalu raja mengangkat tongkat emas baginda dan menyentuh leher Permaisuri Ester dengan tongkat itu. Baginda memeluk Permaisuri Ester dan berkata kepadanya, “Katakanlah apa yang kauinginkan.”

13Permaisuri Ester menjawab, “Ketika hamba melihat tuanku, hamba menyangka melihat malaikat Allah. Hamba terkejut kerana keagungan tuanku yang begitu menakutkan.

14Tuanku sangat mempesonakan, dan wajah tuanku penuh kebaikan.”

15Sementara bertitah, Permaisuri Ester jatuh pengsan lagi.

16Raja berasa cemas, dan semua pelayan baginda berusaha untuk menolong Permaisuri Ester.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help