1
21 Yesus Berdoa di Bukit Zaitun(Mat 26.36-46; Mrk 14.32-42)
39Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia.
40Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.”
41Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu.
42Dia berlutut dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.”
43Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia.
44Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
45Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih.
46Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.”
Yesus Ditangkap(Mat 26.47-56; Mrk 14.43-50; Yoh 18.3-11)47Sementara Yesus masih berkata-kata, datanglah sekumpulan orang. Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk mencium Dia.
48Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?”
49Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!”
50Seorang antara mereka memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinga kanannya.
51Yesus berkata, “Sudahlah!” Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya.
52Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, “Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku?
53Luk 19.47, 21.37 Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak, kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.”
Petrus Menyangkal Yesus(Mat 26.57-58,69-75; Mrk 14.53-54,66-72; Yoh 18.12-18,25-27)54Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh.
55Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya.
56Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!”
57Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!”
58Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!”
Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!”
59Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!”
60Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!”
Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.
61Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.”
62Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu.
Yesus Dipermainkan dan Dipukul(Mat 26.67-68; Mrk 14.65)63Semua orang yang mengawal Yesus mempermainkan dan memukul Dia.
64Mereka menutupi mata-Nya lalu bertanya kepada-Nya, “Tekalah, siapakah yang memukul kamu?”
65Banyak lagi hinaan lain yang dilemparkan oleh mereka kepada Yesus.
Yesus di hadapan Majlis Agama(Mat 26.59-66; Mrk 14.55-64; Yoh 18.19-24)66Pada pagi hari, para pemimpin masyarakat Yahudi, ketua imam, dan guru Taurat bermesyuarat, lalu Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama.
67Mereka berkata, “Katakanlah, benarkah kamu ini Penyelamat yang diutus oleh Allah?”
Yesus menjawab, “Jika Aku memberitahu kamu, kamu pun tidak mahu percaya.
68Jika Aku bertanya apa-apa, kamu tidak mahu menjawab.
69Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.”
70Mereka semua bertanya, “Adakah kamu ini Anak Allah?”
Yesus menjawab, “Begitulah yang kamu katakan.”
71Mereka berkata, “Kita tidak perlu saksi lagi! Kita telah mendengar apa yang dikatakannya!”
Who We AreWhat We EelieveWhat We Do
2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.