YEREMIA 39 - Today's Malay Version 1996

Kejatuhan Yerusalem

1Pada bulan kesepuluh, tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, Raja Nebukadnezar dari Babilonia datang menyerang Yerusalem dengan seluruh angkatan tenteranya.

2Pada hari kesembilan, bulan keempat, tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia, musuh berjaya menembusi tembok kota.

(

3Apabila Yerusalem direbut, semua pegawai tinggi raja Babilonia datang dan duduk di Pintu Gerbang Tengah. Antara mereka ialah Nergal-Sarezer, Samgar-Nebo, Sarsekim, pengurus istana, dan Nergal-Sarezer Rabmag.)

4Apabila Raja Zedekia dan semua tenteranya nampak kejadian itu, mereka cuba lari dari kota itu pada malam hari. Mereka keluar melalui taman istana dan pintu gerbang yang menghubungkan kedua-dua tembok di tempat itu, lalu lari ke arah Lembah Yordan.

5Tetapi tentera Babilonia mengejar mereka dan menangkap Raja Zedekia di dataran dekat Yerikho. Mereka membawa baginda menghadap Raja Nebukadnezar yang ketika itu berada di kota Ribla di daerah Hamat. Di sana Raja Nebukadnezar menjatuhkan hukuman kepadanya.

6Di kota Ribla juga putera-putera Raja Zedekia dibunuh di depan mata Raja Zedekia sendiri, dan semua pegawai kerajaan Yehuda pun dibunuh.

7Selepas itu mata Raja Zedekia dicungkil, lalu baginda dibelenggu dan dibawa ke Babilonia.

8Sementara itu orang Babilonia membakar istana raja dan rumah-rumah rakyat, serta merobohkan tembok Yerusalem.

9Akhirnya, Nebuzaradan, panglima tentera itu, membawa penduduk yang masih di kota ke Babilonia sebagai orang tawanan. Dia juga membawa semua orang yang telah memihak kepadanya, ke Babilonia.

10Dia meninggalkan beberapa orang yang sangat miskin di Yehuda, mereka yang tidak memiliki apa-apa, lalu dia memberi mereka ladang anggur dan ladang.

Yeremia Dibebaskan

11Raja Nebukadnezar telah menyuruh Nebuzaradan, panglima tentera itu, mengeluarkan perintah demikian,

12“Pergilah mencari Yeremia dan layanilah dia dengan baik. Jangan cederakan dia, tetapi kabulkanlah apa sahaja permintaannya.”

13Oleh itu Nebuzaradan, bersama dengan pegawai tinggi yang bernama Nebusyazban dan Nergal-Sarezer, serta semua pegawai raja Babilonia,

14mengambil aku dari halaman istana. Mereka menyerahkan aku kepada penjagaan Gedalya anak Ahikam, cucu Safan, yang harus menghantarkan aku pulang dengan selamat. Oleh itu aku tinggal di situ bersama-sama rakyat.

Harapan untuk Ebed-Melekh

15Ketika aku masih dipenjarakan di halaman istana dahulu, TUHAN menyuruh aku

16memberitahu Ebed-Melekh, orang Etiopia itu, bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman demikian, “Sebagaimana yang Aku firmankan dahulu, Aku akan mendatangkan kemusnahan dan bukan kemakmuran ke kota itu. Apabila perkara itu berlaku kelak, engkau akan berada di sini untuk menyaksikannya.

17Tetapi Aku, TUHAN akan melindungi engkau, dan engkau tidak akan diserahkan kepada orang yang engkau takuti.

18Aku akan menyelamatkan engkau, dan engkau tidak akan dibunuh. Engkau akan selamat kerana engkau percaya kepada-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help