YEREMIA 20 - Today's Malay Version 1996

Yeremia Bertengkar dengan Imam Pasyhur

1Imam Pasyhur anak Imer ialah ketua pegawai Rumah TUHAN. Ketika dia mendengar aku mengisytiharkan semua hal itu,

2dia memberikan perintah untuk memukul dan merantai aku di Pintu Gerbang Benyamin, gerbang bahagian atas di Rumah TUHAN.

3Esok paginya, setelah Pasyhur membuka rantaiku, aku berkata kepadanya, “Nama yang akan diberikan oleh TUHAN kepadamu bukan Pasyhur, tetapi ‘Ketakutan Di Mana-Mana’.

4TUHAN sendiri berfirman, ‘Aku akan menjadikan engkau ketakutan bagi dirimu dan bagi kawan-kawanmu. Engkau akan nampak mereka semua dibunuh oleh musuh dengan pedang. Aku akan membiarkan semua orang Yehuda dikuasai oleh raja Babilonia; sebilangan daripada mereka akan diangkutnya sebagai orang tawanan ke negerinya, dan mereka yang tidak diangkut akan dibunuh.

5Aku akan membiarkan musuh mereka menjarah dan mengangkut semua kekayaan kota ini serta semua harta miliknya ke Babilonia, bahkan harta pusaka raja-raja Yehuda.

6Engkau pula, hai Pasyhur, akan ditangkap dan diangkut ke Babilonia bersama dengan semua anggota keluargamu. Di sana engkau akan mati dan dikuburkan bersama dengan semua kawanmu yang telah mendengarkan dustamu.’ ”

Yeremia Bersungut kepada TUHAN

7Ya TUHAN, Engkau telah menipu aku

dan aku telah tertipu.

Engkau lebih kuat daripada aku

dan telah mengalahkan aku.

Aku diejek oleh setiap orang,

dihina dari pagi sampai petang.

8Setiap kali aku berkata-kata,

aku mesti berteriak sekuat-kuatnya,

“Keganasan! Kemusnahan!”

Ya TUHAN, aku diejek dan dihina setiap waktu,

kerana aku menyampaikan perkhabaran-Mu.

9Tetapi apabila aku berkata,

“Biarlah aku melupakan TUHAN,

aku tidak mahu berucap demi nama-Nya lagi,”

maka perkhabaran-Mu bagaikan api

yang membara dalam hati sanubari.

Aku telah cuba menahannya,

tetapi aku tidak berdaya.

10Aku mendengar orang berbisik di mana-mana,

“Ketakutan merajalela!

Mari laporkan dia kepada yang berkuasa!”

Bahkan semua sahabat karibku

menunggu kejatuhanku.

Mereka berkata, “Mungkin dengan penipuan,

dia dapat kita kalahkan,

supaya dapatlah kita

membalas dendam kepadanya.”

11Tetapi, Engkau, ya TUHAN, memihak aku;

Engkau kuat dan perkasa.

Mereka yang menganiaya aku

akan jatuh dan tidak berdaya.

Mereka akan dipermalukan selama-lamanya,

kerana rancangan mereka tidak berjaya.

Kehinaan mereka itu akan diingat selalu.

12Tetapi, ya TUHAN Yang Maha Kuasa,

dengan adil Engkau menguji manusia;

Engkau tahu akan isi hati dan fikiran mereka.

Oleh itu perkenanlah aku

melihat Engkau membalas kejahatan musuhku,

kerana aku menyerahkan perkaraku kepada-Mu.

13Bernyanyilah bagi TUHAN!

Pujilah TUHAN!

Dia melepaskan orang tertindas

daripada kuasa orang durjana.

14Terkutuklah hari kelahiranku!

Lupakanlah hari ketika ibuku melahirkan aku!

15Terkutuklah pembawa berita

yang menyebabkan bapaku gembira,

ketika berita disampaikan kepadanya,

“Engkau mendapat seorang anak lelaki!”

16Biarlah si pembawa berita itu seperti kota-kota

yang dihancurkan oleh TUHAN tanpa kasihan.

Biarlah dia mendengar jeritan kesakitan pada waktu pagi,

dan tempik pertempuran pada tengah hari,

17kerana dia tidak membunuh aku

ketika aku masih dalam kandungan,

supaya aku tetap dikandung ibuku

dan rahim ibu menjadi kuburku.

18 Ayb 3.1-19 Mengapa aku dilahirkan?

Adakah hanya untuk menderita

dan mengalami kesusahan?

Adakah hidupku akan berlalu

semata-mata untuk mendapat malu?

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help