OBAJA 1 - Today's Malay Version 1996

1Inilah nubuat Obaja. Dia menyampaikan firman TUHAN Raja tentang orang Edom.

TUHAN akan Menghukum Edom

TUHAN telah mengirim utusan-Nya kepada bangsa-bangsa,

dan kita telah mendengar perkhabaran-Nya,

“Bersiaplah!

Marilah kita berperang melawan Edom!”

2TUHAN berfirman kepada orang Edom,

“Aku akan menjadikan kamu lemah;

semua bangsa akan menghina kamu.

3Kamu telah ditipu oleh kesombongan kamu.

Ibu kota kamu adalah kubu batu yang kukuh;

tempat tinggal kamu di puncak gunung yang tinggi.

Oleh sebab itu kamu berfikir,

‘Siapakah yang sanggup menjatuhkan kami?’

4Meskipun kamu membina rumah

di tempat setinggi sarang burung helang,

seolah-olah di antara bintang-bintang,

Aku akan menjatuhkan kamu.

5Apabila pencuri datang pada waktu malam,

mereka hanya mengambil apa yang diingini.

Apabila orang memetik buah anggur,

mereka selalu meninggalkan beberapa buah.

Tetapi musuh akan melenyapkan kamu sama sekali.

6Hai keturunan Esau,

harta kamu telah dijarah.

7Negara sekutu telah menipu kamu;

kamu diusir oleh mereka dari negeri kamu.

Kini kamu dikalahkan oleh orang yang dahulunya berdamai dengan kamu.

Kamu diperangkap oleh orang yang makan bersama dengan kamu.

Mereka berkata tentang kamu,

‘Di manakah segala kecerdikan mereka sekarang?’

8Pada hari Aku menghukum Edom,

Aku akan membinasakan orangnya yang bijaksana,

dan melenyapkan segala hikmat mereka.

9Para pejuang dari Teman akan ketakutan,

semua askar di Edom akan dibunuh.”

Sebab-Sebab Orang Edom Dihukum

10“Kamu telah merompak dan membunuh saudara kamu, keturunan Yakub.

Oleh itu kamu akan dibinasakan

dan dihina orang sepanjang zaman.

11Apabila musuh merobohkan pintu gerbang Yerusalem dan mengalahkan kota itu,

kamu tidak berbuat apa-apa.

Kamu sama jahatnya dengan orang bangsa asing yang melarikan harta Yerusalem,

dan membahagi-bahagikannya antara mereka sendiri.

12Kamu tidak sepatutnya bersukacita

kerana malapetaka yang menimpa saudara kamu di Yehuda.

Kamu tidak sepatutnya bergembira

pada hari mereka binasa.

Kamu tidak sepatutnya mentertawakan mereka

pada masa mereka susah.

13Kamu tidak sepatutnya masuk ke dalam kota umat-Ku

untuk bergembira kerana penduduknya menderita,

dan untuk merampas harta mereka ketika mereka ditimpa bencana.

14 Umat-Ku telah minum dari cawan minuman pahit

yang melambangkan hukuman mereka.

Tetapi semua bangsa jiran

akan minum dari cawan minuman yang lebih pahit lagi.

Mereka mesti meminumnya sampai habis,

lalu mereka akan lenyap tanpa bekas.”

Kemenangan Israel

17“Tetapi di atas Bukit Sion,

akan ada beberapa orang yang terselamat,

dan bukit itu akan menjadi tempat yang suci.

Keturunan Yakub akan memiliki semula tanah pusaka mereka.

18Keturunan Yakub dan Yusuf bagai api,

mereka akan memusnahkan keturunan Esau

seperti api menghanguskan jerami.

Tiada seorang pun daripada keturunan Esau akan terselamat.

Aku, TUHAN telah berfirman.

19Orang dari bahagian selatan Yehuda akan menduduki negeri Edom;

orang dari kaki bukit di sebelah barat akan menakluki wilayah Filistin.

Orang Israel akan memiliki wilayah Efraim dan Samaria;

suku Benyamin akan menduduki daerah Gilead.

20Pasukan orang buangan dari sebelah utara akan kembali,

dan menduduki Fenisia sampai ke Zarfat di utara.

Orang dari Yerusalem yang dibuang ke Sardis,

akan kembali dan merampas kota-kota di bahagian selatan Yehuda.

21Orang Yerusalem yang berjaya

akan menyerang Edom dan menaklukinya.

TUHAN sendiri akan memerintah sebagai raja.”

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help