Mazmur 115 - Alkitab Versi Borneo

1Bukan kepada kami, ya TUHAN, bukan kepada kami

tetapi kepada nama-Mu berilah kemuliaan, kerana kasih-Mu, kerana kesetiaan-Mu.

2Mengapa bangsa-bangsa harus berkata,

“Di mana Allah mereka?”

3Namun Allah kami di syurga;

Dia melakukan apa yang disukai-Nya.

4 Mzm 135:15-18; LJE 1:4-73; Why 9:20. Berhala mereka daripada perak dan emas, buatan tangan manusia.

5Berhala itu ada mulut tetapi tidak berkata-kata,

ada mata, tetapi tidak melihat;

6ada telinga, tetapi tidak mendengar,

ada hidung, tetapi tidak menghidu;

7ada tangan, tetapi tidak memegang,

ada kaki, tetapi tidak berjalan;

juga tidak bersuara dari kerongkongnya.

8Orang yang membuatnya serupalah dengannya,

demikian juga semua yang percaya kepadanya.

9Hai kaum Israel, percayalah kepada TUHAN —

Dialah penolong dan perisai pelindungmu.

10Hai keturunan Harun, percayalah kepada TUHAN —

Dialah penolong dan perisai pelindungmu.

11Kamu yang takut akan TUHAN, percayalah kepada-Nya —

Dialah penolong dan perisai pelindungmu.

12TUHAN ingat kepada kita,

Dia akan memberkati kita:

Dia akan memberkati keturunan kaum Israel,

Dia akan memberkati keturunan kaum Harun,

13 Why 11:18; 19:5. Dia akan memberkati semua yang takut akan TUHAN —

baik yang berkedudukan rendah atau tinggi.

14Semoga TUHAN memberimu semakin banyak keturunan,

kamu dan anak-anakmu.

15Semoga kamu diberkati oleh TUHAN,

yang menjadikan langit dan bumi.

16Langit, malah seluruh angkasa, ialah milik TUHAN,

tetapi bumi telah diberikan-Nya kepada anak-anak manusia.

17Orang mati tidak memuji TUHAN,

orang yang sudah turun ke alam sunyi;

18tetapi kita akan menyanjung TUHAN,

dari saat ini dan untuk selama-lamanya.

Pujilah TUHAN!

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help