Mazmur 31 - Alkitab Versi Borneo

Untuk pemimpin muzik.Mazmur Daud.

1Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung;

jangan biarkan aku menanggung malu;

selamatkanlah aku kerana perbenaran-Mu.

2Condongkan telinga-Mu kepadaku,

selamatkanlah aku dengan segera;

jadilah batu pejal tempat aku berlindung,

kubu pertahanan untuk keselamatanku.

3Kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku;

oleh itu, demi nama-Mu, bimbing dan pandulah aku.

4Lepaskan aku daripada jerat yang dipasang mereka untukku dalam rahsia,

kerana Engkaulah kekuatanku.

5 Luk 23:46. Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku;

Engkau telah menebusku,

Ya TUHAN, Allah yang setia.

6Aku membenci penyembah berhala yang tidak berguna;

aku percaya kepada TUHAN.

7Aku akan gembira dan bersukacita dengan kasih-Mu,

kerana Engkau melihat penderitaanku;

Engkau tahu segala kesusahan yang menimpaku.

8Engkau tidak menyerahkan aku ke dalam cengkaman musuh;

Engkau telah menjejakkan kakiku di tempat yang lapang.

9Kasihanilah aku, ya TUHAN,

kerana aku dalam kesusahan;

mataku kian musnah oleh kesedihan,

ya, seluruh jiwa ragaku.

10Kerana hidupku habis dengan berduka

dan usiaku dengan mengeluh;

kekuatanku hilang akibat dosaku,

dan tulang-tulangku semakin rapuh.

11Aku dicemuh oleh segala musuhku,

tetapi lebih-lebih lagi oleh jiran tetanggaku;

aku dipandang jijik oleh kenalanku —

sesiapa melihatku di jalan lari daripadaku.

12Aku dilupakan seperti orang yang sudah mati, luput dari ingatan;

aku seperti sebuah bekas yang pecah.

13Aku mendengar ramai orang memfitnahku;

ketakutan mengepungku;

mereka sedang berpakat menentangku

mereka merancang untuk meragut nyawaku.

14Namun aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN;

aku berkata, “Engkaulah Allahku.”

15Usiaku berada dalam tangan-Mu;

selamatkanlah aku daripada segala musuhku

dan daripada mereka yang memburuku.

16Limpahkan cahaya wajah-Mu ke atas hamba-Mu; selamatkan aku demi kasih setia-Mu.

17Jangan biarkan aku malu, ya TUHAN,

kerana aku telah berseru kepada-Mu;

biarlah orang zalim ditimpa malu

biarlah mereka membisu dalam kubur.

18Biar lidah mereka yang berdusta dikelukan,

lidah yang menuturkan kata-kata biadab dengan sombong dan menghina terhadap orang yang benar.

19Betapa limpahnya kebaikan-Mu,

yang telah Kausediakan untuk mereka yang takut kepada-Mu,

yang telah Kausiapkan di hadapan manusia untuk mereka yang berlindung dalam-Mu.

20Engkau akan menyembunyikan mereka dalam naungan hadirat-Mu daripada pakatan jahat manusia;

Engkau akan menyembunyikan mereka

di tempat selamat daripada serangan lidah manusia.

21Segala puji bagi TUHAN,

kerana Dia telah menunjukkan aku kebaikan-Nya yang menakjubkan ketika aku di kota yang dikepung.

22Kerana aku telah berkata dengan tidak sabar,

“Aku telah disingkirkan daripada pandangan-Mu!”

Namun Engkau mendengar suaraku merayu

apabila aku berseru kepada-Mu.

23Kasihilah TUHAN, wahai umat-Nya yang warak!

Kerana TUHAN memeliharakan orang yang setia,

dan membalas sepenuhnya orang yang angkuh.

24Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu,

semua kamu yang berharap kepada TUHAN.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help