1Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkanku,
aku telah berseru siang malam di hadapan-Mu.
2Biarlah doaku datang ke hadirat-Mu;
condongkan telinga-Mu kepada seruanku.
3Kerana jiwaku dipenuhi kesusahan
dan hidupku semakin hampir ke kubur.
4Aku dikira serupa dengan mereka yang masuk ke kubur;
aku seperti orang yang tidak bermaya.
5Hanyut di antara orang mati,
seperti orang terbunuh yang terbaring di dalam kubur,
yang tidak Kauingati lagi,
dan telah tersingkir daripada tangan-Mu.
6Engkau telah meletakkan aku di kubur paling dalam,
dalam kegelapan, jauh di dalam.
7Kemurkaan-Mu berat menekanku;
dan Engkau telah menimpakan segala azab-Mu seperti ombak ke atasku. Sela
8Engkau telah menjauhkan semua kenalanku daripadaku
Engkau telah menjadikan aku jijik di mata mereka.
Aku terkurung, tidak dapat keluar;
9mataku semakin pudar kerana kesakitan derita yang kutanggung.
Ya TUHAN, aku telah berseru kepada-Mu setiap hari;
aku telah menghulurkan tanganku kepada-Mu.
10Akan Kaubuatkah mukjizat untuk orang mati?
Akan bangkitkah orang mati lalu memuji-Mu? Sela
11Akan disebutkah kasih-Mu di kubur,
atau kesetiaan-Mu di tempat Kemusnahan?
12Akan dikenalkah mukjizat-Mu dalam kegelapan,
dan perbenaran-Mu di alam kelupaan?
13Tetapi kepada-Mu aku telah berseru, ya TUHAN;
dan pada waktu pagi doaku datang ke hadirat-Mu.
14Ya TUHAN, mengapa Kausingkirkan jiwaku,
mengapa Kausembunyikan wajah-Mu daripadaku?
15Aku telah ditimpa azab dan hampir mati sejak usia mudaku;
aku menderita ketakutan kerana-Mu, aku resah gelisah.
16Kemurkaan-Mu yang dahsyat menimpaku;
ketakutan kepada-Mu membinasakanku.
17Segalanya mengepungku sepanjang hari seperti air; segalanya menenggelamkan aku.
18Orang tersayang dan sahabat telah Kaujauhkan daripadaku;
dan kenalanku dalam kegelapan.
Who We AreWhat We EelieveWhat We Do
2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.