1Dengarlah kata-kataku, ya TUHAN,
pertimbangkan keluhanku.
2Dengarlah jeritanku meminta tolong,
wahai Rajaku dan Allahku,
kerana kepada-Mu aku berdoa.
3Pada waktu pagi, ya TUHAN, Kaudengar suaraku;
pada waktu pagi kulafazkan permohonanku ke hadirat-Mu lalu menanti dengan harapan.
4Engkau bukanlah Allah yang suka akan kejahatan;
dengan-Mu orang zalim tidak dapat tinggal.
5Orang angkuh tidak dapat berdiri di hadirat-Mu;
Engkau benci akan semua yang berbuat jahat.
6Engkau membinasakan orang yang berdusta;
orang yang suka menumpahkan darah dan memperdaya dibenci oleh TUHAN.
7Tetapi aku, dengan limpah belas kasihan-Mu,
akan masuk ke rumah-Mu;
dengan sepenuh hormat aku akan tunduk ke arah Bait Suci-Mu.
8Pimpinlah aku, ya TUHAN, dalam perbenaran-Mu
kerana musuh-musuhku —
luruskanlah jalan-Mu di hadapanku.
9 Rm 3:13. Tiada sepatah kata pun daripada mulut mereka dapat dipercayai;
hati mereka dipenuhi pembinasaan.
Kerongkong mereka seperti kubur terbuka;
lidah mereka menuturkan tipu daya.
10Isytiharkan mereka bersalah, ya Allah!
Biarkan pakatan sulit mereka menjatuhkan mereka.
Singkirkan mereka kerana dosa mereka yang banyak,
kerana mereka telah menderhaka terhadap-Mu.
11Tetapi biarlah semua orang yang bernaung kepada-Mu bersukacita;
biar mereka sentiasa bernyanyi kegembiraan.
Berilah mereka perlindungan-Mu,
supaya orang yang mengasihi nama-Mu dapat bersukacita dalam-Mu.
12Kerana, ya TUHAN, tentulah Engkau memberkati orang yang benar;
Engkau melindungi mereka dengan kemurahan-Mu seperti dengan perisai.
Who We AreWhat We EelieveWhat We Do
2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.