Mazmur 27 - Alkitab Versi Borneo

Mazmur Daud.

1TUHAN cahayaku dan penyelamatanku —

siapa perlu kutakuti?

TUHAN kekuatan hidupku —

siapa harus aku gentar?

2Apabila orang durjana menyerangku

untuk membaham dagingku,

semua musuh dan seteruku itu,

tersandung lalu rebah.

3Kalaupun seangkatan tentera mengepungku,

hatiku tidak akan ngeri;

meski perang bangkit melandaku,

tentang ini aku tetap yakin.

4Satu perkara yang kuingini daripada TUHAN,

akan kupohonkan:

semoga aku akan tinggal di dalam rumah TUHAN seumur hidupku,

melihat keindahan TUHAN

dan merenung di dalam rumah suci-Nya.

5Kerana pada waktu kesusahan

Dia akan menyembunyikan aku di astaka-Nya;

di ruang rahsia khemah-Nya Dia akan menyembunyikan aku.

Dia akan mengangkatku ke atas batu pejal.

6Dan sekarang kepalaku diangkat tinggi di atas musuh sekelilingku;

maka aku akan mempersembahkan korban dengan sorak-sorai kegembiraan di khemah-Nya;

aku akan menyanyi, ya, aku akan menyanyi memuji TUHAN.

7Dengarlah, ya TUHAN, apabila suaraku berseru;

dan kasihanilah aku, serta sahut seruanku.

8Hatiku berkata tentang-Mu, “Carilah wajah-Nya!”

Wajah-Mu, ya TUHAN, akan kucari.

9Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku,

jangan singkirkan hamba-Mu dengan murka;

Engkau telah menolongku.

Jangan pergi daripadaku, jangan tinggalkan aku,

ya Allah Penyelamatku.

10Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku,

TUHAN akan memeliharaku.

11Ajarlah aku jalan-Mu, ya TUHAN,

dan bimbinglah aku ke jalan sejahtera

kerana aku diserang musuh.

12Jangan serahkan aku ke tangan seteruku,

kerana aku digugat saksi-saksi palsu,

dan orang yang ganas.

13Tentulah aku putus asa melainkan aku percaya:

bahawa aku akan melihat kebaikan TUHAN di tanah orang yang hidup.

14Nantikanlah TUHAN;

tabahkan dirimu, teguhkan hatimu.

Ya, nantikanlah TUHAN!

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help