Mazmur 33 - Alkitab Versi Borneo

1Bergembiralah tentang TUHAN, wahai orang yang benar;

kerana pujian daripada orang tulus sungguh indah.

2Pujilah TUHAN dengan bermain kecapi;

mainkan lagu untuk-Nya dengan alat bertali sepuluh.

3Nyanyikan lagu baru untuk-Nya;

mainkan dengan mahir sekali sambil bersorak ria.

4Kerana firman TUHAN itu benar;

dan semua kerja-Nya dilakukan dengan kesetiaan.

5TUHAN mencintai perbenaran dan keadilan;

bumi ini dipenuhi kasih setia-Nya.

6Dengan firman TUHAN langit telah dicipta,

dan seluruh cakerawala dengan perintah-Nya.

7Dia menghimpunkan air segala lautan;

Dia menyimpan khazanah lautan dalam perbendaharaan.

8Takutilah TUHAN, hai seluruh bumi;

gerunlah kepada-Nya, hai semua penghuni dunia.

9Kerana Dia berfirman, lalu segalanya terjadi;

Dia memberikan perintah, lalu segalanya teguh.

10TUHAN mematahkan rancangan bangsa-bangsa;

Dia menjadikan niat mereka sia-sia.

11Rancangan TUHAN bertapak selama-lamanya,

niat hati-Nya bagi manusia zaman-berzaman.

12Diberkatilah bangsa yang Allah mereka ialah TUHAN,

mereka yang telah dipilih sebagai milik-Nya.

13TUHAN memandang dari syurga

Dia melihat semua anak manusia;

14dari tempat bersemayam-Nya Dia memandang semua penghuni bumi —

15Dia membentuk hati setiap orang,

Dia mempertimbangkan seluruh perbuatan mereka.

16 Ydt 9:7; 1Mak 3:19. Tiada raja yang diselamatkan oleh tentera yang besar;

orang gagah perkasa tidak dapat diselamatkan oleh kekuatan yang hebat.

17Kuda yang diharapkan untuk menyelamatkan pasti mengecewakan;

kekuatannya yang hebat tidak akan menyelamatkan sesiapa.

18Lihatlah, TUHAN menumpukan perhatian kepada mereka yang takut kepada-Nya,

kepada mereka yang berharapkan kasih setia-Nya,

19untuk menyelamatkan mereka daripada maut,

dan membolehkan mereka hidup ketika berlaku kebuluran.

20Jiwa kita berharap akan TUHAN;

Dialah penolong dan perisai kita.

21Hati kita akan bergembira kerana Dia,

sebab kita percaya akan nama-Nya yang suci.

22Limpahi kami dengan kasih setia-Mu, ya TUHAN,

sebagaimana kami berharap kepada-Mu.

Blog
About Us
Message
Site Map

Who We AreWhat We EelieveWhat We Do

Terms of UsePrivacy Notice

2025 by iamachristian.org,Inc All rights reserved.

Home
Gospel
Question
Blog
Help